SUKAN

Kerajaan negeri digalak bangunkan bola tampar pantai

09/09/2022 09:48 PM

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Kerajaan negeri digalakkan untuk berganding bahu dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam membangunkan sukan bola tampar pantai yang berpotensi untuk menjadi tarikan pelancongan di negara ini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ti Lian Ker berkata kedudukan geografi Malaysia terutamanya di kawasan Semenanjung yang memiliki kawasan pantai panjang sewajarnya dimanfaatkan untuk pembangunan sukan itu.

Kementerian, beliau berkata sentiasa bersedia untuk membantu membangunkan fasiliti sukan bola tampar pantai sekiranya kerajaan negeri mempunyai cadangan tapak sesuai yang turut mengambil kira pandangan masyarakat setempat.

“Sebenarnya sukan ini ada banyak potensi untuk menarik pelancong dan peminat sukan. Tetapi kami perlu mendapat penerimaan daripada masyarakat tempatan. Masyarakat Teluk Cempedak menerimanya tetapi mungkin di orang kampung di Balok mungkin tidak dapat menerimanya,  mungkin orang-orang di kampung kurang senang dengan pemakaian dan sebagainya.

Bagaimanapun, inisiatif ini mesti datang dari akar umbi kerana kementerian cuba mempromosi industri ini secara keseluruhan. Jika bola tampar boleh menyumbang kepada industri sukan dan industri sukan berkembang ia sebenarnya bercanggah dengan tanggapan salah bahawa sukan hanya membelanjakan wang, sebaliknya ia boleh menjadi penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada Kontinjen Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) ke Kejohanan Remaja Dunia Bola Tampar Pantai di Turkiye, di sini hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Ti berkata penyertaan sulung Malaysia pada kejohanan bakal berlangsung dari 14 hingga 18 Sept ini, diharapkan bakal menjadi pemangkin kepada kemunculan lebih ramai bakat baharu yang berpotensi tinggi untuk bersaing dengan pasukan terbaik di rantau ini.

Sementara itu Ketua Kontinjen negara ke kejohanan tersebut, Teo Poh Chuan yakin kedua-dua wakil negara akan mampu mencapai sasaran yang ditetapkan pada kejohanan yang julung kali disertai itu.

Pada kejohanan itu Malaysia akan diwakili skuad lelaki terdiri daripada Ler Wei Chun dan Looi Kai Xu manakala pasukan wanita dibarisi Farwizah Aina Ahmad Nizar dan Nur Auni Maisarah Shamsulrizal.

Lawan pasukan negara hanya akan diketahui pada sesi undian yang akan diadakan selepas tamat pusingan kelayakan.

Pada Jun lepas, skuad wanita negara mencipta sejarah apabila melayakkan diri secara merit ke Kejohanan Bola Tampar Remaja Dunia setelah muncul sebagai pasukan kelima terbaik di Kejohanan Bola Tampar Pantai Asia (AVC) B-19 di Roi Et, Thailand.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan