JOHOR BAHRU, 1 Jun (Bernama) -- Anak kepada jemaah haji Malaysia yang meninggal dunia di Makkah akibat serangan jantung pada Sabtu memaklumkan dapat merasai perubahan pada bapanya sebelum Allahyarham berangkat ke Tanah Suci dua minggu lepas.
Muhammad Hazrul Haziq Misnan, 30, berkata Allahyarham bapanya Misnan Ahmad, 60, berulang kali berpesan kepadanya selaku anak lelaki sulung supaya sentiasa menjaga anggota keluarga.
Beliau berkata sebaik mengetahui bapanya dimasukkan ke hospital kerana serangan jantung, kesemua adik-beradik membuat panggilan video pada Jumaat dan tidak menyangka bahawa itulah ‘pertemuan’ terakhir mereka.
“Masa tu abah nampak dalam keadaan stabil, kami lega sebab dia sudah keluar dari unit rawatan rapi dan ditempatkan ke wad biasa. Arwah boleh berbual macam biasa dan angkat tangan seperti selalu, jadi kami rasa sangat lega tapi tiba-tiba kami terima berita abah sudah tiada.
“Kami reda, sebab abah meninggal di Tanah Suci dan itu menjadi idaman ramai. Allah SWT lebih sayangkan dia," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Taman Istimewa di sini hari ini.
Muhammad Hazrul Haziq berkata bapanya begitu teruja untuk menjejakkan ke Makkah sehingga sudah menunggu di dalam kenderaan sejurus menunaikan solat subuh untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) pada 15 Mei lepas.
"Saya hantar mak dan abah ke LTAS pada 6.30 pagi. Arwah abah nampak sangat bersemangat dan sentiasa hendak cepat bertolak dari rumah. Abah memang minta hendak pergi sangat ke Makkah,” katanya.
Allahyarham Misnan yang juga Pegawai Khas kepada Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor Mohd Hairi Mad Shah disahkan meninggal dunia di Hospital King Abdul Aziz akibat serangan jantung.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial