ISKANDAR PUTERI, 15 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor akan menyediakan peruntukan bagi menangani masalah banjir kilat terutama di kawasan tumpuan di bandar raya ini dalam Belanjawan Johor 2023.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata peruntukan itu akan digunakan bagi menyelenggara dan menambah baik kawasan tumpuan yang mudah dinaiki air.
“Kita telah selaraskan dengan 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk melihat hotspot banjir dan dalam belanjawan tahun hadapan, kita akan peruntukkan untuk tempat yang cepat dinaiki air.
“Longkang-longkang akan dinaik taraf dan ada kawasan jalan raya berlubang, jadi perparitan harus dibesarkan supaya aliran air akan cepat mengalir ketika banjir kilat,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ketua Whip, Ahli Majlis dan Pengerusi Yayasan PBT Negeri Johor di sini, hari ini.
Turut hadir merasmikan majlis berkenaan ialah Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Mohd Jafni berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penyelesaian kerajaan negeri bagi menangani banjir kilat.
Selain itu, beliau berharap agar Ketua Whip dan Ahli Majlis PBT yang baru dilantik dapat menjalankan tugas sebaiknya dan berbakti kepada rakyat.
“Saya faham tugas Ahli Majlis dan Ketua Whip bukan tanggungjawab yang mudah jika dibandingkan dengan elaun yang diterima, tetapi khidmat bakti mereka adalah lebih kepada berkhidmat dan berbakti kepada rakyat,” katanya.
Pada 2 Ogos lepas, banjir kilat melanda beberapa kawasan di bandar raya ini susulan hujan lebat, sekali gus menyebabkan beberapa jalan utama dinaiki air dan lebih 500 kenderaan dipercayai turut terjejas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial