EKONOMI

Konsortium MISC dianugerahi ikatan carter jangka panjang oleh QatarEnergy 

10/08/2022 04:00 PM

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- MISC Bhd, melalui konsortium dengan Nippon Yusen Kabushiki Kaisha (NYK), Kawasaki Kisen Kaisha Ltd (K-Line) dan China LNG Shipping (Holdings) Ltd (CLNG), telah dianugerahkan ikatan carter jangka panjang (TCPS) oleh QatarEnergy, sebuah syarikat petroleum milik Qatar untuk tujuh kapal pengangkut gas asli cecair (LNGC) baharu berkapasiti 174,000 meter padu yang akan dibina oleh Hyundai Heavy Industries Co Ltd.

Penyedia perkhidmatan serta penyelesaian maritim yang berkaitan dengan tenaga antarabangsa itu berkata ia telah bersetuju dengan syarat utama untuk konsortium berkenaan, dan setiap ahli konsortium akan mempunyai kepentingan ekuiti yang sama iaitu sebanyak 25 peratus dalam setiap LNGC yang diberikan.

"MISC akan memasuki perjanjian pemegang saham dengan konsortium melalui subsidiari milik penuhnya, Portovenere and Lerici (Labuan) Pte Ltd (PLL).

“Syarikat-syarikat usaha sama akan dibentuk untuk menguruskan operasi komersil LNGC-LNGC tersebut dan Eaglestar Shipmanagement Gas (S) Pte Ltd, sebuah subsidiari milik penuh tidak langsung syarikat itu, akan menyediakan perkhidmatan pengurusan kapal,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Menurut MISC lagi, susulan TCP itu, kapal-kapal tersebut akan dipakai oleh QatarEnergy di bawah carter jangka panjang bermula dari 2025 dan seterusnya.

TCP itu tidak akan memberikan impak ke atas modal saham yang dikeluarkan serta dibayar dan pemegangan saham yang besar di MISC, ia juga tidak dijangka mempunyai kesan material terhadap pendapatan sesaham, gearing termasuk aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2022.

"Daripada perspektif MISC, faktor -faktor risiko yang mempengaruhi TCP seperti risiko komersil, pelaksanaan projek, negara serta pengoperasian telah dapat dikurangkan melalui terma dan syarat TCP," katanya.

 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan