BANTING, 30 Julai (Bernama) -- Konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia 2022 (KMKM 2022) peringkat Selangor selama tiga hari bermula hari ini, akan menjelajah lima daerah terpilih sebagai usaha memupuk serta menyemai semangat patriotisme sepanjang program tersebut di negeri itu.
Pengarah Jabatan Penerangan Selangor Wan Norhana Mohamad berkata jelajah sempena Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 itu akan dilaksanakan di sekitar daerah Kuala Langat, Petaling, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.
“KMKM 2022 di Selangor ini akan diisi dengan pelbagai aktiviti menarik, antaranya pengedaran dan aktiviti melekatkan Jalur Gemilang pada kenderaan, kajian kepada pengunjung, edaran risalah kenegaraan serta persembahan kebudayaan.
“KMKM ini akan berhenti 10 hentian terpilih, sebelum dijangka menghantar baton jelajah tersebut kepada Perak, iaitu negeri seterusnya bertempat di Dataran Menara Condong, Teluk Intan pada 1 Ogos nanti,” katanya pada Bernama selepas pelepasan lebih kurang 50 konvoi motosikal berkuasa tinggi sempena KMKM 2022 peringkat Selangor di Kolej Vokasional Sultan Abdul Samad (KVSAS) hari ini.
10 hentian tersebut adalah KVSAS dan Dataran Pantai Morib (Kuala Langat); Seksyen 16, Canselori Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan Alam Avenue (Petaling); Kampung Batu 4 Kapar di Klang; Sekolah Menengah Agama Jeram dan Dataran Bukit Melawati (Kuala Selangor); Hentian Bas Sungai Besar dan Kampung Batu 38 (Sabak Bernam).
Terdahulu Wan Norhana dan Pegawai Daerah Kuala Langat Muhammad Heeza Hassan, menerima baton KMKM 2022 sekitar 12 tengah hari tadi daripada pasukan konvoi yang dilepaskan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempena pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 di Putrajaya, pagi tadi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial