KUALA TERENGGANU, 1 Julai (Bernama) -- Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu akan memperkenalkan sistem penarafan bintang terhadap 70 rumah bot yang beroperasi di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu sebagai satu lagi penambahbaikan perkhidmatan pelancongan di destinasi tersebut.
Pengarahnya, Fadli Yusof berkata ketika ini pihaknya dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sedang memperincikan beberapa kriteria yang akan dinilai dalam sistem penarafan itu.
"Antara kriteria itu ialah tandas, sistem kumbahan, penyediaan makanan, bilik penginapan serta kemudahan tambahan seperti penyaman udara yang disediakan oleh pengusaha rumah bot.
"Penarafan diberi dari satu hingga lima bintang sepertimana hotel di darat. Kita yakin, sistem ini akan merancakkan lagi industri pelancongan kerana pelancong boleh memilih rumah bot yang sesuai dengan keselesaan dan bajet mereka," katanya kepada Bernama hari ini.
Apabila siap kelak, penarafan rumah bot itu yang dijangka bermula tahun depan akan menjadi garis panduan standard untuk rujukan di tasik-tasik pelancongan peringkat kebangsaan.
Mengulas lanjut, Fadli berkata setakat ini semua pengusaha bot di Tasik Kenyir telah dimaklumkan mengenai cadangan itu dan mereka akan diberi taklimat terperinci mengenai kriteria yang akan dinilai.
Beliau berkata ketika ini kadar harga bagi setiap rumah bot yang memuatkan antara 20 hingga 25 penumpang ialah RM1,500 hingga RM5,000 untuk satu malam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial