SUKAN

TFC mohon MFL teliti semula pindaan jadual Liga Super

24/04/2022 04:23 PM

KUALA NERUS, 24 April (Bernama) -- Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd merayu supaya Liga Bolasepak Malaysia (MFL) meneliti semula pindaan terhadap jadual Liga Super yang disifatkan “membunuh” pasukan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Ab Rasid Jusoh berkata beliau memahami rombakan itu bertujuan memberi laluan kepada persiapan skuad Sukan SEA negara, namun terkilan dan kecewa kerana keputusan dibuat tanpa melalui perbincangan dengan TFC yang diibaratkan sebagai rakan kongsi MFL.

Beliau berkata pihaknya mempunyai alasan kukuh untuk tidak bersetuju dengan pindaan itu terutama dari aspek kepadatan jadual perlawanan yang akan menjejaskan prestasi pemain. 

“Sebelum ini kita dah lalui episod penundaan perlawanan akibat COVID-19 dan ia ternyata memberi kesan negatif kepada prestasi awal TFC selepas kalah dalam dua perlawanan berturut-turut.

“Namun, selepas berhempas-pulas dalam empat perlawanan kami berjaya bina momentum yang baik. Saya bimbang jika dipinda lagi, perancangan latihan akan bercelaru dan mengakibatkan kegagalan kepada pasukan," katanya kepada pemberita.

Selain itu, Ab Rasid berkata rombakan itu turut memberi kesan kepada kedudukan kewangan pasukan yang telah membuat tempahan kapal terbang dan penginapan ke Sabah lebih awal sebagai langkah penjimatan.

Katanya sebagai sebuah kelab profesional yang masih bertatih, kesemua perbelanjaan pasukan perlu dilakukan secara bijak dan berhemat bagi mengelak perkara tidak diingini di kemudian hari.

“Saya percaya Selangor FC juga terkesan dengan perkara ini kerana pindaan melibatkan dua pasukan sahaja. Saya harap perkara ini (pindaan) boleh dipertimbangkan lagi dan memohon MFL memberi sedikit kelonggaran untuk kami terus memperbaiki kedudukan dalam persada liga," katanya.

Ketika ditanya sama ada bersedia melepaskan sembilan pemainnya bagi menyertai latihan pusat Sukan SEA Hanoi pada 1 Mei ini, beliau berkata TFC sedang berhadapan situasi kekurangan pemain disebabkan masalah kecederaan.

“Daripada 26 pemain TFC yang didaftarkan hanya 16 sahaja yang boleh diturunkan kerana kecederaan, malah ia melibatkan pemain utama seperti Kipre Thectche, Mohd Faiz Nasir, Sharin Sapien dan Mohd Sharmiza Yusof," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan