AM

Peniaga di Medan Selera Batu Buruk 3 rayu kurangkan kadar sewa

29/01/2022 02:31 PM

KUALA TERENGGANU, 29 Jan  -- Peniaga di Medan Selera Batu Buruk 3 di sini merayu Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) agar mengurangkan kadar sewa gerai mereka yang berjumlah RM500 setiap bulan ketika ini, akibat kemerosotan jualan sejak negara dilanda pandemik COVID-19.

Naib Pengerusi Persatuan Peniaga Medan Selera Batu Buruk 3 Raja Nazri Raja Sapie, 40, berkata pihaknya berharap kadar sewa dapat dikurangkan kepada hanya RM200 atau RM250 setiap bulan, sama seperti kadar sewa di gerai medan selera MBKT di lokasi lain.

"Jualan kami merosot hingga 80 peratus menyebabkan peniaga di situ buntu mahu mencari sumber kewangan untuk membayar sewa bulanan termasuk tunggakan yang gagal dibayar sejak tahun lepas.

"Lebih membimbangkan, MBKT telah hantar notis amaran untuk mengunci premis atau menamatkan sewaan jika kami gagal bayar tunggakan. Ada peniaga yang tertunggak hingga RM7,000, dalam keadaan ekonomi tidak stabil sekarang bagaimana kami mahu cari wang untuk selesaikan tunggakan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Medan selera yang mula beroperasi pada Januari 2017 itu menjadi tumpuan kakitangan dan pengunjung Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk menjamu selera, namun perniagaan mereka mula terjejas setelah hospital mengehadkan jumlah pelawat akibat COVID-19.

Seorang peniaga, Rozlinda Yusof, 46, berkata lokasi medan selera itu yang agak tersorok dari laluan utama ditambah pula caj meletak kenderaan yang dikenakan MBKT menyebabkan orang ramai tidak gemar datang ke situ.

"Boleh dikatakan 90 peratus pelanggan kami adalah kakitangan HSNZ, namun pembukaan dua kafeteria di dalam hospital turut menjejaskan perniagaan kami dan ada antara peniaga yang terpaksa bergolok-bergadai untuk bayar gaji pekerja, bil elektrik dan air serta sewa gerai," katanya yang menjual kuih-muih.

Terdapat 18 lot gerai makan di medan selera itu, namun hanya 14 peniaga masih meneruskan perniagaan ketika ini disebabkan kekangan modal pusingan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta MBKT Ahmad Suhaimi Embong ketika dihubungi Bernama berkata MBKT sentiasa prihatin dalam membantu peniaga yang terkesan akibat pandemik dan telah memberi pengecualian sewa selama dua bulan iaitu pada Jun dan Julai 2021. 

"Berkenaan tunggakan lama, peniaga turut diberi kelonggaran untuk menyelesaikannya secara berperingkat agar tidak rasa terbeban," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan