AM

Melaka cadang bina saluran paip air dari Sungai Rembau

24/01/2022 11:20 PM

MELAKA, 24 Jan -- Kerajaan negeri Melaka telah memohon kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) untuk cadangan membina paip air dari Sungai Rembau (dalam wilayah Melaka) ke Empangan Durian Tunggal, Alor Gajah bagi memastikan keperluan penduduk negeri berkenaan sentiasa mencukupi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri Datuk Rahmad Mariman berkata langkah itu berikutan kerajaan negeri tidak boleh terus bergantung penggunaan air mentah dari Sungai Gerisik.

"Ini disebabkan kerana didapati masalah air laut telah memasuki sungai berkenaan hingga sepanjang 40 kilometer Rumah Pam Gerisek, sekiranya keadaan ini berlaku pada musim kemarau, ia mungkin menyukarkan kita untuk mengepam air di situ.

"Justeru itu, antara ambil langkah awal untuk mengelakkan krisis air pada masa akan datang adalah cadangan mengepam air dari Sungai Rembau dan dijangka projek ini akan menelan kos sebanyak RM250 juta," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengulas lanjut Rahmad berkata Melaka mempunyai tiga empangan iaitu Empangan Durian Tunggal, Empangan Jus dan Empangan Asahan namun ia merupakan empangan takungan air yang dipam dari sungai lain kerana tidak mempunyai sumber sendiri.

Sementara itu beliau turut menyarankan kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri berkenaan menyediakan kemudahan bot penyelamat di Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) masing-masing sebagai langkah awal sekiranya berlaku banjir.

Beliau berkata ia juga membolehkan langkah awal dapat diambil dan mempercepatkan proses menyelamat dan membawa mangsa terutamanya warga emas yang terlantar ke kawasan lebih selamat berdasarkan pengalaman situasi banjir yang lepas.

"Untuk hari ini Japerun Ayer Molek telah menerima aset iaitu sebuah bot penyelamat yang dilengkapi peralatan menyelamat selain akan menubuhkan pasukan terlatih yang mengetahui cara menyelamat dan mengendali bot ketika kecemasan.

"Kos untuk pembelian aset ini tidaklah tinggi, keseluruhan harga kesemua peralatan termasuk bot dan kelengkapan di bawah RM20,000," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan