EKONOMI

Metronic Global memeterai perjanjian solar 25 tahun dengan Technology PP Industries

13/01/2022 09:59 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jan -- Metronic Global Bhd telah memeterai perjanjian pembelian tenaga solar (SPPA) dengan Technology PP Industries (Northern) Sdn Bhd di bawah model pajakan solar di Kedah.

Syarikat itu berkata SPPA itu telah diperolehi oleh subsidiari milik 70 peratusnya, Sinaran PPA Sdn Bhd, yang akan membangunkan, membiayai, mereka bentuk, membina, menguji, mentauliah, memiliki, mengendali, dan menyelenggara kemudahan penjanaan fotovoltan solar (PV) dengan kapasiti kira-kira 3,121 kilowatt (kWp) di Sungai Petani bagi penjanaan serta penghantaran tenaga PV solar kepada Technology PP.

"Tertakluk kepada pemenuhan atau pengecualian syarat-syarat terdahulu bagi pembinaan dan pemasangan kemudahan serta operasi komersial kemudahan itu, SPPA tersebut akan berkuat kuasa selama 25 tahun dari tarikh operasi komersial fasiliti berkenaan," kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Kumpulan itu dalam pengumuman berasingan berkata PPA Sinaran juga telah menandatangani SPPA dengan Wang You Polymer Industries Sdn Bhd bagi membangun, membiayai, mereka bentuk, membina, menguji, mentauliah, memiliki, mengendali dan menyelenggara kemudahan penjanaan PV solar dengan kapasiti kira-kira 1,000 kWp di Gurun, Kedah.

Menurut kumpulan itu, kedua-dua perjanjian tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan Metronic. 

Semasa ditutup hari ini, harga saham Metronic berada pada dua sen dengan 987,900 juta unit bertukar tangan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan