PETALING JAYA, 2 Dis -- Biarpun disisihkan daripada senarai awal 28 pemain dipanggil untuk kem latihan pusat skuad Harimau Malaya, pemain sayap muda sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT) Arif Aiman Mohd Hanapi akhirnya dipanggil menyertai pasukan kebangsaan menjelang kempen Piala AFF di Singapura, Ahad ini.
Ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe memaklumkan pihaknya memutuskan untuk memanggil Arif Aiman ke sesi latihan terakhir hari ini bagi menggantikan rakan sepasukannya, Mohamadou Sumareh yang mempunyai urusan keluarga selain dilapor mengalami kecederaan selepas beraksi buat JDT pada pentas akhir Piala Malaysia menentang Kuala Lumpur (KL) City FC, pada Selasa (30 Nov).
Walaupun difahamkan Arif Aiman tidak dipanggil kerana dikhuatiri penat selepas mengharungi jadual padat dalam kempen Liga Malaysia (Liga-M) sebelum ini, Cheng Hoe mendedahkan pemain berusia 19 tahun itu sebaliknya bersedia untuk menyarung jersi kebangsaan di Singapura.
“Selepas final Piala Malaysia saya sempat berbual dengan Arif Aiman dan beliau bersedia untuk bermain bersama skuad kebangsaan.
“Sebagai jurulatih, saya amat gembira untuk melihat Arif Aiman untuk menjadi sebahagian daripada pasukan Piala AFF kami,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan pasukan kebangsaan di Kompleks Sukan PKNS di sini, hari ini.
Selain Arif Aiman, penjaga gol Petaling Jaya (PJ) City FC Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, turut dipanggil bagi menggantikan Muhammad Azri Ab Ghani yang beraksi untuk Perak FC.
Cheng Hoe berkata Muhammad Azri terpaksa melupakan saingan Piala AFF, selepas mengalami kecederaan bahu dalam sesi latihan baru-baru ini.
Pengendali berusia 53 tahun itu pada masa sama yakin Kalamullah, yang disifatkannya sebagai seorang penjaga gol yang bagus, dapat mengisi kelompongan ditinggalkan Muhammad Azri sekiranya tersenarai dalam barisan akhir 24 pemain yang akan diumumkan nanti.
Sementara itu, Cheng Hoe menyifatkan kehilangan dua tonggak tengah KL City, Akram Mahinan dan Kenny Palraj akibat kecederaan, merupakan cabaran buat barisan kejurulatihan untuk menggunakan khidmat pemain sedia ada dalam menghadapi misi di Singapura itu.
Menurutnya, barisan kejurulatihan terpaksa menggunakan pemain sedia ada seperti Junior Edtsal (Chonburi FC) dan Muhammad Syafiq Ahmad (JDT) kerana mereka sudah kesuntukan masa untuk membuat analisa memilih pemain baharu bagi menggantikan Akram dan Kenny dan berharap agar mereka yang terpilih dapat menggalas tugas sebaik mungkin di atas padang.
Malaysia yang merupakan juara edisi 2010 akan memulakan kempen Kumpulan B menentang Kemboja pada 6 Dis, diikuti Laos (9 Dis), Vietnam (12 Dis) dan Indonesia (19 Dis) dalam misi mencapai sasaran mara ke pentas akhir buat kali kedua berturut-turut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial