AM

300 Sertai Explorace Hari Keselamatan Internet 2026, Perkasa Kesedaran Siber

08/02/2026 11:38 AM

KUALA LUMPUR, 8 Feb (Bernama) -- Sebanyak 300 belia menyertai Program Explorace sempena Sambutan Hari Keselamatan Internet (HKI) 2026 di Taman Tasik Titiwangsa di sini, pagi ini bagi memperkasakan kesedaran keselamatan siber melalui kaedah santai dan interaktif.

Program dijayakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Majlis Belia Wilayah Persekutuan (MBWP) itu melibatkan peserta berusia 15 hingga 40 tahun dengan penyertaan aktif komuniti belia dari Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Presiden Majlis Belia Wilayah Persekutuan (MBWP) Khairul Rizam Abu Samah berkata penganjuran aktiviti berbentuk pertandingan itu menghimpunkan golongan belia pelbagai latar belakang untuk memahami kepentingan mewujudkan ekosistem digital selamat.

“Pengisian Program Explorace bukan sekadar melibatkan aktiviti fizikal malah turut menekankan elemen pembelajaran dengan memperkenalkan ilmu komunikasi teknikal yang jarang didedahkan kepada umum,” katanya kepada Bernama. 

Sementara itu, Pengarah Program Explorace yang juga Exco MBWP Muhammad Aliff Izzuddin Baharuddin berkata elemen kepelbagaian kaum dan usia membuktikan keterbukaan tinggi belia dalam menerima ilmu baharu.

Muhammad Aliff berkata antara cabaran unik diketengahkan termasuk penggunaan kod Morse, isyarat semaphore dan abjad fonetik yang bertujuan menguji ketangkasan serta ketelitian peserta dalam situasi kecemasan atau komunikasi teknikal.

“Melalui penyertaan pelbagai kumpulan belia, kita dapat melihat kepelbagaian dan keterbukaan dalam menerima ilmu baharu yang mungkin kurang diketahui namun penting untuk diaplikasikan dalam situasi tertentu,” katanya.

Juara pertandingan akan menerima wang tunai RM2,000, naib juara RM1,500 dan tempat ketiga RM1,000 manakala sagu hati disediakan sehingga tempat ke-10.

Peserta Muhammad Zuhair Mohd Fuad, 22, berkata program itu pengalaman mencabar di luar jangkaan kerana memerlukan kerjasama pasukan yang kuat untuk menyelesaikan tugasan di setiap titik semak.

“Saya jangka ia tidak begitu sukar, tetapi apabila melalui sendiri, baru sedar ada cabaran tersendiri, terutamanya dalam aspek keselamatan digital serta komunikasi seperti abjad fonetik Alpha-Tango yang dipelajari tadi dan memang seronok,” katanya. 

Bertemakan “Teknologi Pintar, Pilihan Selamat: Penggunaan AI Secara Selamat dan Bertanggungjawab”, HKI 2026 menekankan kepentingan membuat pilihan digital yang bijak dalam memanfaatkan teknologi serta kecerdasan buatan (AI) sejajar dengan perkembangan pesat landskap digital masa kini.

Kemuncak sambutan ialah perasmian HKI 2026 oleh Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang seterusnya melancarkan Kempen Internet Selamat 2026.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan