AM

PM Anwar, Modi Adakan Mesyuarat Dua Hala Perkukuh Hubungan Malaysia-India

08/02/2026 10:37 AM

PUTRAJAYA, 8 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan empat mata dengan rakan sejawatnya dari India, Narendra Modi di Kompleks Seri Perdana, di sini.

Modi tiba di Seri Perdana pada 9.35 pagi dan disambut oleh Anwar, sebelum diikuti dengan persembahan kebudayaan sebagai penghormatan kepada pemimpin asing itu.

Perdana Menteri India itu berada di Malaysia untuk lawatan rasmi dua hari sejak semalam atas undangan Anwar.

Antara menteri Kabinet yang hadir ialah Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Digital Gobind Singh Deo dan Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Hadir sama ialah Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan selaku menteri pengiring, serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Mesyuarat antara Malaysia dan India memberikan tumpuan kepada pengukuhan Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) antara kedua-dua negara, dengan perbincangan merangkumi kerjasama dalam perdagangan dan pelaburan, pertahanan dan keselamatan, tenaga kerja, pelancongan, kesalinghubungan, pertanian serta pendidikan, selain isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dijangka ditandatangani susulan mesyuarat itu sebagai bukti komitmen bersama kedua-dua negara untuk memperdalam kerjasama dua hala dalam sektor utama.

MoU juga melibatkan usaha membanteras dan mencegah rasuah, piawaian latihan, pensijilan dan pengawasan untuk pelaut, serta pengurusan bencana.

Dokumen tambahan lain termasuk perjanjian dalam bidang penerbitan audio visual, memorandum kerjasama dalam bidang tenaga kerja, pertukaran nota berkaitan semikonduktor, kesihatan, keselamatan negara dan TVET, pertukaran surat mengenai kerjasama pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta penyerahan perjanjian rangka kerja mengenai International Big Cats Alliance (IBCA).

Susulan pertukaran MoU, kedua-dua pemimpin dijangka mengadakan sidang media bersama bagi menegaskan komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuh hubungan dua hala dan memajukan kerjasama demi manfaat bersama.

Lawatan ini merupakan kunjungan ketiga Modi ke Malaysia dan yang pertama sejak hubungan dua hala antara Malaysia dan India dinaikkan ke tahap CSP pada Ogos 2024.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan