AM

Penduduk Lundu tidak akan lagi alami masalah bekalan air

29/11/2021 08:18 PM

KUCHING, 29 Nov -- Dalam masa terdekat ini, penduduk di Lundu tidak akan lagi mengalami gangguan bekalan air, berikutan pelaksanaan 22 projek bernilai lebih RM 223.8 juta di kawasan itu.

Pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata pada masa ini projek yang dilaksanakan sama ada oleh kerajaan negeri atau kerajaan Persekutuan menerusi Projek Rakyat, Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Sarawak dan lain-lain, kini berada dalam pelbagai peringkat pelaksanaanya.

“Inisiatif ini juga akan menyediakan bekalan air berterusan melalui projek Bekalan Air Daerah Lundu dan penyerahan projek Sistem Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) bagi Kampung Pugu, Kampung Sekambal Melayu, Kampung Selarat dan Kampung Matang Terap,” katanya.

Menurut kenyataan itu, antara projek yang dilaksanakan dengan peruntukan daripada RTP Tanjung Datu ialah Projek Naik Taraf Paip Graviti Kampung Kangka Tahun 2019 dan Naik Taraf Paip Graviti Kampung Pandan di bawah RTP 2019 yang menelan kos RM150,000 setiap satu.

Selain itu ialah Kampung Sekambal Cina dan Naik Taraf Paip Kampung Graviti Sepuluh orang Cina di bawah RTP pada 2020 yang menelan kos RM100,000 serta menaik taraf bekalan air di Pulau Talang-Talang di bawah RTP pada 2021 yang menelan belanja RM250,000.

Sementara itu di bawah Projek Rakyat, kenyataan itu memaklumkan projek yang ada kini turut melibatkan penambahbaikan bekalan air di kawasan Lundu/Bau yang menelan belanja RM1.8 juta, penambahbaikan sistem bekalan air Sematan (fasa dua) yang menelan belanja RM15 juta dan projek telaga tiub air bawah tanah di Telok Melano yang menelan kos RM4.3 juta.

Menurut kenyataan itu, terdapat juga tiga projek yang masih dalam proses pembinaan membabitkan kos RM62.4 juta termasuk projek SAWAS di Kampung Pugu, Kampung Sekambal Melayu, Kampung Selarat dan Matang Terap yang menelan kos RM4.6 juta yang diserahkan pada 27 Nov.

Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi baru-baru ini menyerahkan Projek Bekalan Air Daerah Lundu dan Projek SAWAS di Kampung Pugu, Kampung Sekambal Melayu , Kampung Selarat dan Kampung Matang Terap di Lundu pada Sabtu (27  Nov).

Sarawak akan mengadakan Pilihan Raya Negeri ke-12 pada 18 Dis. 

Penyandang kerusi DUN Tanjong Datu ialah Puan Sri Jamilah Anu, dari Gabungan Parti Sarawak.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan