KUCHING, 9 Julai (Bernama) -- Jabatan Pertanian Sarawak mesti berusaha secara aktif ke setiap bahagian di negeri ini untuk mengenal pasti petani dan mendaftarkan mereka di bawah sistem e-Tani.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata melalui platform itu, kerajaan negeri dapat memperoleh data penting bukan sahaja untuk memberikan bantuan tetapi juga dalam membuat keputusan dasar.
“Masih ramai petani yang belum berdaftar (di Sarawak) dan belum direkod dalam sistem kami. Saya ingin Jabatan Pertanian di setiap bahagian mengenal pasti dan memasukkan petani-petani biasa ini.
“Dengan cara ini, kita dapat memperoleh set data yang lebih lengkap dan tepat,” katanya dalam ucapan semasa pelancaran Laporan Interim Banci Pertanian Sarawak 2024 di sini hari ini.
Dr Rundi berkata dengan e-Tani, kerajaan bukan sahaja dapat mengenal pasti petani, malah memahami keperluan khusus golongan itu mengikut kawasan masing-masing.
“Ini akan membolehkan bantuan diberikan dengan lebih cekap dan bersasar memastikan tiada yang terpinggir dan sumber dapat digunakan dengan cara terbaik,” katanya.
Platform e-Tani ialah sistem dalam talian komprehensif yang direka untuk merevolusikan cara petani menerima bantuan dan mengurus sumber mereka, di samping menjadi sistem dalam talian yang membolehkan petani mendaftar dan membuat profil.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial