EKONOMI

MDEC BERKERJASAMA DENGAN INSTITUSI AWAM, SWASTA UNTUK PEMBANGUNAN PERTANIAN DIGITAL

29/11/2021 07:30 PM

KUALA LUMPUR, 29 Nov -- Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bekerjasama dengan institusi awam dan swasta melalui universiti dan politeknik teknologi digital terulungnya, dikenali sebagai Institusi Teknologi Digital Perdana (PDTI) dengan memasukkan program latihan berkaitan industri dan revolusi industri keempat (4IR) untuk menyediakan generasi petani digital akan datang.

Dalam satu kenyataan hari ini, MDEC berkata ia telah meningkatkan kerjasama dengan jenama teknologi pertanian digital (AgTech) global seperti Trapview, AgDraft, EarthSense, Trace, AgriWebb dan Soft Robotics dalam promosi, pelaburan, latihan AgTech, menggabungkan teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dan pemindahan pengetahuan.

Naib Presiden Kanan, Pelaburan, Jenama dan Ketua Pegawai Pemasaran MDEC, Raymond Siva berkata ekosistem AgTech yang sedang dibina MDEC merangkumi perancangan pembangunan bakat yang kukuh, pilihan kewangan konvensional dan alternatif serta perkongsian pengetahuan daripada pemain AgTech global.

“Ini bukan sahaja memberi manfaat kepada industri pertanian dengan menjadikannya pintu masuk untuk transformasi digital tetapi juga mewujudkan kawasan tanah subur yang matang untuk pelaburan AgTech.

"Untuk ekosistem AgTech Digital berkembang maju, ia memerlukan penglibatan pemain tempatan dan asing," katanya.

Beliau berkata MDEC memahami cabaran yang dihadapi pelabur dalam bidang teknologi baharu seperti AgTech dan telah mengambil pelbagai strategi untuk menangani kebimbangan mereka dan melaksanakan pendekatan yang disasarkan untuk membawa masuk pelaburan AgTech digital ke dalam negara.

Menurut MDEC, AgTech membentuk satu daripada lima sektor industri yang dikenal pasti sebagai pemacu utama ekonomi digital di bawah Strategi “Digital Investments Future5” (DIF5) MDEC, iaitu pelan lima tahun yang memfokuskan kepada lima teras utama yang bertujuan untuk menarik pelaburan dan memajukan ekonomi digital Malaysia di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Beliau berkata antara matlamatnya ialah DIF5 mensasarkan pelaburan RM50 bilion dalam ekonomi digital dan menarik 50 syarikat teknologi Fortune500 untuk melabur dan berkembang di Malaysia, sejajar dengan matlamat yang ditetapkan oleh Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL).

MDEC juga bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk memperkenalkan Pejabat Pelaburan Digital (DIO), platform digital sepenuhnya yang berfungsi sebagai satu tetingkap untuk menyelaras dan memudahkan semua pelaburan digital, menjadikannya lebih mudah untuk pelabur bagi mengemukakan kepentingan pelaburan mereka.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan