EKONOMI

Unjuran hasil cukai langsung 2022 RM139.3 bilion boleh dicapai, kata CEO LHDN

23/11/2021 07:15 PM

KUALA LUMPUR, 23 Nov -- Unjuran hasil daripada cukai langsung kira-kira RM139.3 bilion menjelang 2022 adalah realistik dan boleh dicapai, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Datuk Mohd Nizom Sairi. 

Anggaran hasil itu diunjurkan daripada kutipan kasar cukai langsung secara keseluruhan termasuk cukai korporat, petroleum, individu dan lain-lain, sebelum tuntutan bayaran balik, katanya.

"Sasaran tersebut adalah seiring dengan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.9 peratus seperti yang diumumkan oleh kerajaan," katanya pada siri webinar TaxMax ke-47, yang bertemakan "Membina ketahanan untuk esok", anjuran Akademi Cukai Deloitte. 

Mohd Nizom berkata unjuran hasil daripada cukai pendapatan korporat bagi 2022 adalah lebih sedikit daripada kutipan pada 2019, sebelum pandemik COVID-19 bermula. 

"Daripada segi unjuran hasil yang boleh dijangkakan kerajaan daripada ekonomi tahun depan, kami melihat beberapa faktor, sebahagian datang daripada data sejarah yang telah kami kumpulkan sejak beberapa tahun lepas dan juga berdasarkan kepada prospek," katanya. 

Sementara itu, Mohd Nizom berkata nisbah cukai langsung kepada KDNK Malaysia berada pada aliran menurun sejak 2019, pada 9.5 peratus, iaitu 1.7 mata lebih rendah daripada purata Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

"Ia mencatatkan penurunan trend sejak 2020, yang berada pada 8.4 peratus dan dianggarkan nisbah itu akan berada pada 7.9 peratus untuk 2022," kata Mohd Nizom.   

Beliau ketika mengulas mengenai nisbah cukai tidak langsung kepada KDNK menjelaskan Malaysia hanya berada pada 3.2 peratus dan jauh di bawah purata OECD sebanyak 10.9 peratus. 

"Berdasarkan statistik ini, kami dapat menyimpulkan bahawa struktur cukai negara sangat bergantung kepada cukai langsung berbanding cukai tidak langsung. 

"Kadar cukai langsung dan tidak langsung berdasarkan purata OECD adalah kira-kira 50-50 peratus. Tetapi dalam kes kami, ia adalah lebih kurang nisbah 75-25 peratus antara cukai langsung dan tidak langsung," katanya. 

Melihat kepada trend ini, Mohd Nizom berpendapat bahawa sistem percukaian Malaysia perlu bergerak ke arah trend semasa untuk meluaskan asas cukainya bagi melibatkan lebih ramai penduduk seperti pengenalan cukai penggunaan. 

"Orang akan berhujah daripada perspektif yang saksama, sama ada ia adil untuk mengenakan cukai ke atas pendapatan yang berbeza, jadi kami perlu mencari keseimbangan tetapi tidak boleh dinafikan bahawa hakikatnya, negara sedang menuju ke arah itu. 

"Ia bukan sahaja akan meluaskan cukai bersih tetapi kami juga boleh bersetuju bahawa ia adalah cara yang lebih cekap untuk mengutip cukai dengan ruang yang lebih rendah bagi kebocoran," katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan