EKONOMI

Mesyuarat Pertama Majlis Penasihat Perbadanan Labuan 2025-2027 Tumpu Perkukuh Ekonomi

14/02/2026 01:03 PM

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 14 Feb (Bernama) -- Anggota Majlis Penasihat Perbadanan Labuan mengadakan mesyuarat pertama hari ini bagi sesi 2025-2027 dengan menumpukan kepada langkah memperkukuh ekonomi serta menangani beberapa cabaran ekonomi tertunggak dan baharu yang dihadapi pulau ini.

Pengerusi Majlis Penasihat, Datuk Bashir Alias berkata mesyuarat itu bertujuan memperkukuh peranan majlis penasihat dalam memperkasakan agenda pembangunan oleh Perbadanan Labuan demi manfaat pulau dan penduduknya.

“Kami membincangkan pelbagai isu berkaitan perkara tertunggak dan baharu yang timbul di Labuan, yang pastinya akan dibawa ke peringkat lebih tinggi dalam Perbadanan Labuan untuk tindakan lanjut,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata anggota majlis penasihat akan menyumbang kepakaran masing-masing dalam merangka penyelesaian praktikal untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi.

Antaranya penggiat industri logistik dan maritim, Datuk Seri Patrick Tiong berkata antara isu utama yang diketengahkan ada;ah usaha menarik lebih banyak kapal persiaran antarabangsa berlabuh di Pelabuhan Labuan.

Beliau berkata penyelarasan dan kerjasama berterusan antara semua agensi berkaitan adalah penting bagi memastikan urusan penerimaan masuk kapal persiaran berjalan lancar.

Tentatif persinggahan kapal persiaran antarabangsa di Pelabuhan Labuan pada Oktober memberi petanda positif kepada industri pelancongan pulau ini dan berpotensi menjadi pemangkin kepada sektor berkaitan termasuk hospitaliti, peruncitan dan pengangkutan, katanya.

Tiong berkata sistem pencukaian Labuan juga perlu kekal berdaya saing dan menyokong perniagaan tempatan serta asing.

“Mungkin kerajaan boleh mempertimbangkan kadar cukai tiga peratus bagi perniagaan perdagangan atau sektor lain, seperti yang kini dinikmati oleh peserta di bawah Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan,” katanya.

Beliau berkata langkah sedemikian akan menggalakkan lebih banyak perniagaan berkembang maju dan menyumbang kepada hasil negara, sekali gus meletakkan Labuan sebagai destinasi perniagaan yang lebih menarik.

Barisan baharu Majlis Penasihat Perbadanan Labuan terdiri daripada Bashir sebagai Pengerusi, serta anggota termasuk Tiong, Datuk Ramli Tahir, Datuk Wong Kii Yii, Niswati Tarji, Seah Kiat Leong dan Haziq Ruslain.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan