LABUAN, 17 Feb (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Labuan berjaya menggagalkan percubaan menyeludup keluar 540 karton minuman beralkohol bernilai hampir RM200,000 dari perairan pulau bebas cukai itu malam tadi (16 Feb).
Pengarah APMM Labuan Izwanhadi Idros berkata rampasan itu dibuat semasa rondaan rutin di bawah Op Sejahtera 1/2022 dan Op Tiris 3.0.
Beliau berkata bot peronda agensi itu, PETIR 90, mengesan tiga bot yang mencurigakan pada 8.15 malam, kira-kira 0.4 batu nautika tenggara Pulau Papan.
"Apabila pasukan kami bergerak untuk melakukan pemeriksaan, ketiga-tiga bot itu cuba melarikan diri. Dua bot berpatah balik ke arah perairan PETRONAS Methanol, manakala sebuah lagi terkandas di Pulau Balangkasan.
“Suspek dipercayai telah terjun ke laut dan melarikan diri ke pulau itu,” katanya kepada Bernama hari ini.
Izwanhadi berkata anggota penguatkuasa berjaya menarik bot terbiar itu, yang kemudiannya didapati dipenuhi dengan karton minuman beralkohol pelbagai jenama.
"Tiada suspek ditemui semasa pemeriksaan susulan di kawasan sekitar," katanya.
Bot dan kargo yang dirampas dibawa ke Jeti Maritim Labuan untuk siasatan lanjut, katanya, sambil menambah kes itu disiasat di bawah undang-undang anti penyeludupan dan kastam yang berkaitan.
Beliau menggesa orang ramai, terutamanya komuniti maritim, untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan di laut melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-427999 untuk tindakan segera.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial