AM

Agong, Permaisuri zahir takziah pemergian James Masing

31/10/2021 04:24 PM

KUALA LUMPUR, 31 Okt -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Dr James Jemut Masing awal pagi tadi.

Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa sedih dengan pemergian mendiang yang juga Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mendiang sabar serta tabah menghadapi dugaan dan suasana sedih serta pilu ini.

Seri Paduka Baginda berdua turut menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar kepada negeri Sarawak.

"Seri Paduka Baginda amat menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan mendiang kepada negeri Sarawak," menurut kenyataan Istana Negara di laman Facebook.

Ahli Dewan Undangan Negeri Baleh sejak 1983 itu meninggal dunia di Pusat Perubatan Normah Sarawak (NSMC) di Petra Jaya, Kuching kira-kira pukul 7.05 pagi pada usia 72 tahun.

James Masing dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Umum Sarawak (HUS) pada bulan September lepas, kerana disahkan positif COVID-19 sebelum dipindahkan ke NSMC untuk rawatan susulan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan