KUALA LUMPUR, 26 Okt -- Mestron Holdings Bhd menyasarkan untuk menerima 30 peratus tempahan daripada keseluruhan 1,661 menara telekomunikasi yang akan dibina di bawah fasa pertama inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Pengeluar palang keluli itu berkata di bawah pelan itu, Sarawak memerlukan pembinaan sebanyak 600 menara dan Mestron dijangka meraih manfaat daripada rekod prestasinya yang kukuh di negeri berkenaan.
Pengarah Urusannya Por Teong Eng dalam kenyataan hari ini berkata perkembangan kukuh JENDELA akan mendorong permintaan terhadap produk khusus kumpulan itu seperti tiang tinggi dan ekakutub telekomunikasi yang diperlukan untuk membangunkan infrastruktur telekomunikasi.
“Kehadiran kukuh kami di Sarawak memberikan kami kelebihan memandangkan kami mempunyai rekod prestasi produk dan perkhidmatan yang terbukti.
“Ini menempatkan kami dalam kedudukan yang baik untuk memenangi lebih banyak kontrak berkaitan pembangunan menara telekomunikasi ini. Kami menyasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada menara ini di Sarawak atau kira-kira 180 menara,” katanya.
Por berkata melalui projek itu, Mestron akan menyaksikan “pertumbuhan perolehan yang besar” dalam tempoh dua tahun akan datang, dan memandangkan margin kasar adalah sekitar 25 peratus, ia akan mengekalkan trajektori pertumbuhan yang kukuh bagi kumpulan itu dalam masa terdekat.
“Kami gembira untuk menjadi sebahagian daripada pembangunan infrastruktur telekomunikasi ini di Malaysia untuk membantu merapatkan jurang digital di antara kawasan luar bandar dan bandar,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial