AM

IMT-GT Pacu Integrasi Serantau Di Sebalik Ketidaktentuan Global

10/07/2025 02:51 PM

Oleh Nur Elysa Amirah Suhaimi

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Indonesia, Malaysia dan Thailand kekal komited untuk memajukan integrasi segitiga pertumbuhan ekonomi subserantau tiga negara (IMT-GT) sebagai pendekatan utama bagi menyerap kesan ketidaktentuan global serta memperkukuh kestabilan dan ketahanan serantau.

Ketua Pengarah Jabatan Penerangan dan Kementerian Luar Thailand Nikorndej Balankura berkata komitmen itu ditegaskan oleh beberapa menteri semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58, dengan menekankan keperluan penglibatan lebih aktif dalam kerjasama politik, ekonomi dan perdagangan di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik yang berterusan.

“Ketidaktentuan ekonomi global dan pandemik telah menjejaskan pertumbuhan serta memperlahankan sedikit kemajuan IMT-GT.

“Namun, IMT-GT terus memacu integrasi subserantau sebagai strategi untuk mengurangkan kesan negatif risiko global dan memperkukuh ketahanan serantau, memberi manfaat kepada ketiga-tiga negara dalam ketidaktentuan geopolitik ini,” katanya kepada Bernama dalam temu bual di sela-sela AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan di sini.

Beliau menambah bahawa keterhubungan, termasuk aspek fizikal dan perisian, kekal menjadi cabaran ketara bagi ketiga-tiga negara dalam segitiga pertumbuhan tersebut.

Nikorndej berkata projek infrastruktur seperti jalan raya, rel serta undang-undang dan peraturan berkaitan pergerakan barangan serta individu merentasi sempadan merupakan antara isu utama yang sedang ditangani oleh IMT-GT.

Beliau turut menekankan usaha pendigitalan di bawah Pelan Tindakan IMT-GT 2022-2026 yang merangkumi koridor ekonomi, pemudahcara perdagangan digital, rangka kerja perkongsian data serta pembayaran digital rentas sempadan.

“Keterhubungan digital merupakan tumpuan baharu, dan usaha menangani aspek fizikal, perundangan dan digital akan meningkatkan pelaburan, perdagangan serta hubungan rakyat dengan rakyat, termasuk aliran data,” katanya.

Mengulas hubungan Malaysia-Thailand, Nikorndej berkata kedua-dua negara berkongsi aspirasi untuk menjadikan kawasan sempadan sebagai zon aman dan makmur, dengan dua keutamaan utama telah dikenal pasti.

“Thailand dan Malaysia akan terus bekerjasama rapat dalam projek infrastruktur utama yang menghubungkan kedua-dua negara seperti laluan jalan raya yang menghubungkan Songkhla (Thailand) dan Kedah (Malaysia) serta jambatan kedua yang menghubungkan Narathiwat (Thailand) dan Kelantan (Malaysia),” katanya.

Beliau berkata projek itu bukan sahaja akan menghubungkan Thailand dan Malaysia, tetapi juga memperluaskan hubungan ke pasaran yang lebih besar, dengan China menjadi destinasi paling strategik kerana pasarannya yang luas.

“Kedua-dua kerajaan bekerjasama rapat untuk memastikan pengangkutan rel ekspres ASEAN yang menghubungkan Thailand, Malaysia, Laos dan China lebih cekap, di samping terdapat perbincangan mengenai kemungkinan menghidupkan semula perkhidmatan rel Sungai Kolok (Thailand)-Rantau Panjang (Malaysia) yang akan menghubungkan Malaysia dengan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL),” tambahnya.

Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Hasbi Habibollah sebelum ini dilaporkan berkata Malaysia terbuka untuk berbincang mengenai usaha menghidupkan semula laluan rel sepanjang 18.7 kilometer yang menghubungkan kedua-dua negara. Perkhidmatan penumpang di laluan itu telah ditamatkan sejak 1982 manakala perkhidmatan kargo dihentikan pada 2006.

Pada 27 Mei lalu, Sidang Kemuncak IMT-GT ke-16 sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 menekankan peranan utama rangka kerja subserantau berkenaan dalam memperkukuh keterhubungan, mempromosikan perdagangan dan memacu pertumbuhan mampan di rantau ini.

AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan berlangsung dari 8 hingga 11 Julai di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, menampilkan 24 mesyuarat peringkat menteri membabitkan Rakan Dialog ASEAN dan Rakan Dialog Sektoral.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan