KOTA BHARU, 26 Okt -- Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Kelantan menyediakan tabung khas COVID-19 bagi membantu lebih 900 koperasi yang membabitkan 300,000 ahli di negeri itu bagi meneruskan kelangsungan perniagaan ketika berdepan pandemik COVID-19.
Pengarah SKM Kelantan Zainuddin Mohamed berkata tabung itu merupakan pinjaman khas kepada koperasi-koperasi di negeri ini untuk mendapatkan modal pusingan selepas terkesan akibat penularan wabak itu.
"Tabung khas diperuntukkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) dan pihak kami mengurusnya bagi memberikan pinjaman kepada koperasi-koperasi.
"Kita beri pinjaman sehingga RM10 juta kepada koperasi-koperasi bagi meneruskan pelbagai perniagaan yang diusahakan mereka seperti peruncitan, pemborongan, pertanian, perladangan dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jualan Koperasi Prihatin Rakyat (JKPR) di Dataran Kelabu, Universiti Kampus Kesihatan, Kubang Kerian, dekat sini hari ini.
Zainuddin berkata selain itu, pihaknya turut melaksanakan pinjaman mudah dan geran tanpa cagaran bagi membantu koperasi memulakan perniagaan lain bagi meningkatkan pendapatan mereka.
"Sekarang kita lebih banyak membuat penangguhan bayaran balik pinjaman kerana kita mahu membantu aliran tunai ahli kita yang terkesan akibat penularan COVID-19," katanya sambil menambah inisiatif itu dilakukan bagi mengelakkan lebih banyak koperasi tidak aktif susulan pandemik COVID-19.
"Ia menunjukkan kerajaan menerusi kementerian dan agensi komited untuk memulih dan mengukuhkan semula aktiviti ekonomi koperasi serta menggerakkan koperasi sebagai penyumbang berkesan kepada pembangunan sosioekonomi negara," katanya.
Sementara itu, Program JKPR yang diperkenalkan melalui Pelan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi bertujuan untuk menggalakkan orang ramai berbelanja dan membeli barangan keperluan harian di kedai koperasi dengan harga yang lebih murah berbanding pasaran tempatan.
"Di Kelantan sendiri JKPR ini akan diadakan di setiap daerah melalui 20 koperasi yang mengurusnya bagi membantu meringankan bebanan ahli koperasi termasuk orang awam untuk mendapatkan bekalan makanan keperluan dengan menawarkan lima hingga 15 peratus potongan harga," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial