DUNIA

Ringgit Dibuka Tinggi Berbanding Dolar AS Menjelang Pengumuman OPR

04/05/2026 09:26 AM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada hari dagangan pertama Mei, dengan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) dijadual berlangsung minggu ini, perkembangan konflik AS-Iran dan data senarai gaji bukan ladang AS yang akan dikeluarkan dijangka menjadi penentu hala tuju pasaran.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan meningkat berbanding dolar AS kepada 3.9590/9725 daripada 3.9690/9740 semasa ditutup pada Khamis lepas.  

Pasaran tempatan ditutup pada Jumaat lepas bersempena dengan cuti umum Hari Pekerja.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ahli MPC BNM akan memutuskan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada Khamis ini.

“Kebanyakan ahli ekonomi menjangka OPR akan dikekalkan, tetapi yang lebih penting ialah penilaian terkini mengenai perang Iran yang dilihat masih belum menunjukkan tanda-tanda untuk mereda manakala harga minyak mentah kekal tinggi.

“Terdapat juga data senarai gaji bukan ladang AS yang akan diumumkan pada Jumaat yang dianggap penting bagi keputusan Rizab Persekutuan AS berhubung kadar faedah.

“Sehubungan itu, kami menjangka ringgit akan terus berada dalam jajaran kecil berikutan sentimen pasaran yang kekal berhati-hati,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata dolar AS-ringgit dijangka berada antara RM3.96 dan RM3.98 hari ini.

Sementara itu, mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit menurun berbanding yen Jepun kepada 2.5226/5315 daripada 2.4907/4942 semasa ditutup pada Khamis lepas, hampir mendatar berbanding euro kepada 4.6415/6574 daripada 4.6417/6476 dan menyusut berbanding pound kepada 5.3759/3943 daripada 5.3593/3661 sebelum ini.

Mata wang tempatan bercampur-campur berbanding mata wang serantau.

Ringgit menurun berbanding dolar Singapura kepada 3.1095/1206 daripada 3.1061/1103 semasa ditutup pada Khamis lepas, berkurangan berbanding baht Thailand kepada 12.1812/2306 daripada 12.1711/1932, bagaimanapun tinggi berbanding rupiah Indonesia kepada 228.3/229.2 daripada 228.7/229.2 dan peso Filipina kepada 6.44/4/6.47 daripada 6.45/6.47 sebelum ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan