JENAYAH & MAHKAMAH

Kontraktor binaan rugi RM50,370 diperdaya rakan

06/10/2021 12:48 PM

KUANTAN, 6 Okt -- Seorang kontraktor binaan mendakwa kerugian RM50,370 selepas diperdaya rakannya sendiri berkaitan tender pakaian tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang merupakan lelaki berusia 40 tahun mendakwa telah berbincang bersama rakan lelakinya pada Julai lepas mengenai projek tender kerajaan dan swasta bagi menghasilkan pakaian.

Beliau berkata mangsa yang bersetuju dengan tender ditawarkan oleh rakan yang dikenalinya sejak empat tahun lepas itu telah menyerahkan modal keseluruhan berjumlah RM50,370.

“Bagi urusan tersebut, mangsa telah melakukan 13 transaksi ke nombor akaun suspek (rakan) secara berperingkat bermula 28 Julai hingga 15 Sept lepas.

“Setelah kesemua pembayaran dibuat, mangsa bertanya kepada suspek mengenai pulangan yang dijanjikan, namun rakannya itu tidak menjawab panggilan telefon dan gagal dihubungi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Wazir berkata mangsa yang menyedari ditipu kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh semalam dan kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan