AM

USM, Ditrolic Energy Solutions jalin kerjasama bangunkan projek sistem tenaga solar

28/09/2021 08:45 PM

GEORGE TOWN, 28 Sept -- Universiti Sains Malaysia (USM) menjalin kerjasama dengan sebuah syarikat tenaga solar tempatan Ditrolic Energy Solutions Sdn Bhd untuk membangunkan projek tenaga solar bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga elektrik di universiti itu.

Naib Canselor USM Datuk Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata melalui kerjasama itu tenaga alternatif solar akan digunakan untuk menjana tenaga elektrik yang lebih efektif dan mesra alam melalui pemasangan sistem solar fotovolta (PV) dengan kapasiti maksimum 10,662.25 kilowatt peak (kWp) di lebih 90 lokasi di kampus induk USM.

"Projek ini dijangka menjimatkan kos utiliti universiti untuk jangka panjang iaitu kira-kira sebanyak 30 peratus," katanya kepada Bernama selepas majlis menandatangani perjanjian pembelian tenaga solar PV dengan wakil syarikat tersebut di Bangunan Canselori USM hari ini.

Beliau berkata dengan jumlah kapasiti maksimum 10,662.25 kWp, USM dapat menampung tenaga sistem sehingga 40 peratus penggunaan tenaga tahunannya daripada tenaga boleh diperbaharui itu.

"USM turut optimis dalam merancang pelaksanaan projek yang sama di luar kampus induk iaitu Kampus Kejuruteraan (dekat Nibong Tebal) dengan syarikat lain sekitar Jun atau Julai tahun hadapan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Distrolic Energy Solutions Tham Chee Aun berkata proses pemasangan sistem solar PV dijangka bermula dalam masa terdekat di bumbung bangunan yang terpilih, kebun solar mini di atas tanah dan juga parkir berbumbung di kampus induk USM.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan