SUKAN

Singapura tuan rumah Piala Suzuki AFF 2020

28/09/2021 08:33 PM

KUALA LUMPUR, 28 Sept -- Singapura diumumkan sebagai tuan rumah kepada kejohanan bola sepak ASEAN yang paling berprestij Piala AFF Suzuki 2020, yang akan berlangsung dari 5 Dis hingga 1 Jan tahun hadapan.

Perkara itu diumumkan secara ringkas dalam Facebook Piala AFF Suzuki hari ini.

Pada 21 Sept, Presiden Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Mejar Jen Khiev Sameth berkata pada kali ini, kejohanan itu akan berlangsung di satu venue berpusat disebabkan ancaman COVID-19, berbanding format kandang dan tandang (home-and-away), bermula dari peringkat awal sehingga perlawanan akhir.

Kejohanan yang sepatutnya dianjurkan hujung tahun lepas, ditunda setahun disebabkan pandemik COVID-19.

Edisi kali ini menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan B, bersama juara bertahan Vietnam, dan musuh tradisi Indonesia selain Kemboja dan Laos.

Tuan rumah Singapura akan berada dalam Kumpulan A bersama Thailand, Myanmar, Filipina dan pemenang peringkat kelayakan antara Brunei dan Timor-Leste.

Pasukan kebangsaan menjuarai kejohanan itu pada 2010 dan menduduki tempat kedua pada 1996, 2014 dan 2018, menjadi salah sebuah daripada empat negara yang pernah menjuarai kejohanan dwitahunan itu yang bermula pada 1996.

Thailand menjuarainya sebanyak lima kali (1996, 2000, 2002, 2014 dan 2016), diikuti Singapura empat kali (1998, 2004, 2007 dan 2012) makanala Vietnam dua kali  iaitu pada 2008 dan 2018.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan