AM

Pelaksanaan projek Jalan Kuching-Serian memuaskan - Audit

28/09/2021 04:03 PM

KUCHING, 28 Sept -- Projek Naik Taraf Jalan Kuching-Serian (KSR) sepanjang 8.1km di antara Batu 10 (Km 16) dan Batu 15 (Km 24) di sini telah dilaksanakan dengan memuaskan setelah kesemua komponen projek itu berjaya disiapkan dalam tempoh yang dibenarkan.

Menurut Siri Kedua Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 yang dibentangkan di Parlimen hari ini, walaupun terdapat beberapa kelemahan dalam pengurusan projek bernilai RM80 juta itu, namun pencapaian keberhasilannya adalah memuaskan.

“Pengguna jalan berpuas hati terhadap keselesaan dan keselamatan jalan serta projek ini telah menggiatkan ekonomi di sekitar kawasan tersebut,” kata laporan itu.

Kelemahan yang dirujuk laporan itu berkaitan tempoh bon pelaksanaan tidak dilanjutkan mengikut kontrak; kelewatan permohonan dan pertindihan tempoh lanjutan masa (EOT); kelewatan mengeluarkan Arahan Perubahan Kerja (APK); dan kualiti dan asphaltic concrete jalan raya yang tidak mencapai ketebalan yang ditetapkan.

Bagi mengatasi kelemahan ini di masa depan, pihak yang terlibat disyorkan untuk memastikan permohonan dan kelulusan EOT diuruskan dengan baik supaya tidak berlaku kelewatan penyiapan projek, selain semua kerja pembinaan jalan menjalani ujian berkesan bagi memastikan hasil kerja itu berkualiti dan menepati spesifikasi.

Laporan itu menyebut Projek KSR ini pada asalnya dicadangkan adalah sepanjang 9.2km merupakan sebahagian daripada Projek Pembangunan dan Naik Taraf Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak melibatkan kerja menaik taraf jalan dua lorong dua hala kepada empat lorong dua hala.

Pelaksanaannya diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 di bawah peruntukan pembangunan Kementerian Kerja Raya (KKR) dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak mewakili KKR dalam mengawal selia projek berkenaan yang ditawarkan kepada sebuah syarikat melalui tender terhad pada 12 Okt 2015.

Tarikh siap asal projek itu ialah 9 Ogos 2017, namun tidak dapat ditepati kontraktor itu ekoran perubahan reka bentuk pemasangan jambatan, pengalihan paip dan cuaca buruk, sebelum projek itu hanya siap sepenuhnya pada 28 Jan 2019 dengan diberikan tujuh kelulusan EOT berjumlah 351 hari.

Kontraktor itu telah menerima lima surat peringatan, lima surat amaran dan satu surat tunjuk sepanjang tempoh projek itu, namun KKR dan JKR Sarawak memutuskan untuk tidak menamatkan perkhidmatannya ekoran baki kerja yang sedikit dan komitmen kontraktor itu untuk menyiapkannya.

“Kontraktor itu telah dikenakan ganti rugi tertentu dan ditetapkan (Liquidated Ascertained Damages or LAD) berjumlah RM3.26 juta bagi tempoh selama 186 hari bermula 27 Julai 2018 sehingga 28 Jan 2019,” tambahnya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan