AM

290 guru di Sabah masih belum dapatkan vaksin

25/09/2021 06:54 PM

KOTA KINABALU, 25 Sept -- Kira-kira 290 guru sekolah di Sabah masih belum mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 setakat semalam, kata Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Mohamad Alamin.

Justeru, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kimanis menyeru kepada guru-guru berkenaan supaya segera mendapatkan vaksin, agar sesi persekolahan nanti berjalan dengan lebih lancar dan selamat.

“Kita minta Jabatan Pendidikan Negeri Sabah menghubungi guru-guru ini dan adakan perbincangan (dapatkan vaksin) kerana mereka perlu divaksin.

“Saya berharap kepada guru-guru ini juga memberi kerjasama dan tampil mendapatkan vaksin demi masa depan anak-anak dan pelajar sekolah, kerana mengikut prosedur operasi standard, guru yang tidak divaksin tidak boleh mengajar secara bersemuka, kita tidak mahu berlaku seperti itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke pusat pemberian vaksin (PPV) di Sekolah Kebangsaan Melawa Telipok di sini, hari ini.

Mohamad berkata sekiranya guru-guru berkenaan masih enggan dengan arahan berkenaan, kementerian menyerahkan perkara itu kepada Jabatan Perkhidmatan Awam untuk mengambil tindakan selanjutnya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata terdapat 91 PPV di sekolah telah dibuka di Sabah dan jumlah itu dijangka akan bertambah apabila sekolah dibuka nanti, bagi memudahkan pemberian vaksin kepada pelajar yang layak.

Beliau berkata setakat semalam kira-kira 162,000 daripada 368,000 pelajar di Sabah telah menerima suntikan vaksin COVID-19.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan