JOHOR BAHRU, 30 Jun (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang Bong Seng Heng mempertaruhkan pengalaman luasnya sebagai Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) untuk menambat hati pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Bong yang juga Ketua MCA Bahagian Johor Bahru berkata tempoh empat tahun berkhidmat sebagai Ahli Majlis MBJB memberinya kelebihan dalam memahami denyut nadi masyarakat serta membina hubungan akrab dengan komuniti peniaga setempat.
“Bagi saya yang paling penting sekali kena sentiasa turun padang mendekati mereka dan berjiwa rakyat untuk bersedia berkhidmat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri ceramah kelompok dan tinjauan mesra di pasar malam Taman Pelangi di sini hari ini.
Bong berkata komitmennya adalah untuk sentiasa berada di barisan hadapan bagi mendengar serta menyelesaikan setiap permasalahan penduduk melalui pendekatan yang berterusan.
Dalam pada itu, Bong menzahirkan keyakinan mampu meraih mandat pengundi bersandarkan sokongan padu jentera parti serta keselarasan visi pembangunan di bawah agenda “Maju Johor” yang diterajui Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Sementara itu, mengulas mengenai kehadiran Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang turut bertanding di DUN Stulang, beliau menyifatkannya sebagai satu persaingan sihat dalam amalan demokrasi dan menyerahkan pilihan mutlak kepada kebijaksanaan rakyat.
“Jadi, marilah kita bersaing secara adil, tunjukkan yang terbaik kepada pengundi dan serahkan kepada mereka untuk memilih calon yang terbaik,” katanya.
DUN Stulang menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan Bong (BN-MCA), penyandang Andrew Chen Kah Eng (PH-DAP), Stanley Tan (Bersama) dan Lim Chin Eng @ Roland Lim (PN-Bersatu).
Sebanyak 172 calon bertanding dalam PRN Johor yang berlangsung pada 11 Julai, manakala pengundian awal pada 7 Julai.
Bagi mendapatkan berita terkini PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/.
-- BERNAMA
N45: STULANG: 60,029
1. Andrew Chen Kah Eng (PH-DAP)
2. Stanley Tan (Bersama)
3. Lim Chin Eng @ Roland Lim (PN-Bersatu)
4. Bong Seng Heng (BN-MCA)
(2022: Andrew Chen Kah Eng: PH-DAP: Maj: 2,866)
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial