KUALA LUMPUR, 20 Sept -- Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) memperuntukkan RM15 juta bagi melaksanakan projek membaik pulih dan menaik taraf infrastruktur awam di ibu negara di bawah program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi 2.0 (PEMERKASA 2.0).
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata peruntukan itu meliputi 26 projek kecil yang majoritinya di Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bawah kawal selia Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
"Majoriti pelaksanaan projek diterima daripada komuniti melalui Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan, berdasarkan kepada keperluan kritikal yang memerlukan baik pulih serta-merta bagi mengelakkan risiko boleh menjejaskan keselamatan awam," katanya kepada pemberita selepas melawat Surau Quba Pangsapuri Melur, Bandar Baru Sentul, di sini hari ini.
Shahidan berkata kementerian melalui DBKL menawarkan kerja-kerja kepada kontraktor G1 terpilih yang berjaya memenuhi syarat ditetapkan bagi merangsang semula ekonomi semasa tempoh pasca- Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Ini termasuk projek-projek mengecat semula bangunan, membaiki atau mengganti kerosakan infrastruktur asas dan kemudahan awam.
"Keseluruhan projek baik pulih dan menaik taraf ini telah mencapai 25 peratus kemajuan kerja sejak dimulakan pada Julai lepas dan dijangka siap November nanti," katanya.
Menurutnya, kerajaan sentiasa komited dalam menyediakan persekitaran kehidupan yang lebih kondusif bagi mempertingkatkan kualiti hidup Keluarga Malaysia selain merangsang kembali ekonomi di Wilayah Persekutuan agar matlamat My City My Home tercapai.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial