BERITA TERGEMPAR   Malaysia hopes ASEAN-Canada Free Trade Agreement negotiations can be concluded soonest possible for mutual benefit - PM Anwar | 
 DUNIA > BERITA

Indonesia, Arab Saudi Meterai Perjanjian Perniagaan US$27 Bilion Semasa Lawatan Prabowo

03/07/2025 07:12 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 3 Julai (Bernama) -- Indonesia dan Arab Saudi memeterai perjanjian perniagaan bernilai US$27 bilion semasa lawatan negara Presiden Prabowo Subianto ke Arab Saudi minggu ini, menandakan hubungan ekonomi yang semakin mendalam antara kedua-dua negara, menurut Kementerian Luar Indonesia.

Perjanjian tersebut termasuk projek tenaga boleh diperbaharui 10 gigawatt antara BPI Danantara Indonesia dan ACWA Power yang berpangkalan di Arab Saudi; projek tenaga bersih 500 megawatt melibatkan PT Pertamina dan ACWA Power; serta perkongsian perkhidmatan bahan api pesawat antara PT Pertamina Patra Niaga dan AlShams, penyedia perkhidmatan bahan api penerbangan.

Perjanjian lain termasuk projek pembinaan oleh PT Waskita Karya dengan PLADCO; kerjasama pembangunan dan pemasangan pesawat antara VELA dan SISA; serta inisiatif hab teknologi digital yang diketuai oleh Cyber Mantra, Forytine Arch, dan ITEAC, menurut kementerian itu pada Khamis.

Prabowo tiba di Jeddah pada 1 Julai untuk lawatan selama tiga hari - lawatan pertamanya ke Arab Saudi sejak menjadi presiden pada Oktober tahun lalu - dan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Putera Mahkota Mohammed bin Salman di Istana Al Salam pada keesokan harinya.

Kementerian itu memaklumkan bahawa pertemuan tersebut turut menandakan sesi sulung Majlis Penyelarasan Peringkat Tinggi Indonesia-Arab Saudi (HLCC), sebuah platform untuk menyelaraskan keutamaan strategik dan meningkatkan kerjasama.

“Kedua-dua pemimpin bersetuju untuk memperdalam kerjasama merentasi sektor seperti perdagangan, tenaga, pertahanan, buruh dan perkhidmatan untuk jemaah haji Indonesia. Mereka juga bertukar pandangan mengenai situasi di Palestin dan Iran.

“Hasil utama perbincangan ialah penerimaan rangka kerja tadbir urus HLCC yang dimuktamadkan dalam dokumen bersama yang ditandatangani kedua-dua pemimpin,” menurut kenyataan kementerian itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan