MELAKA, 15 Sept -- Aplikasi Sistem Lesen Pintar Untuk Premis Perniagaan (myPATIL) yang diperkenalkan di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) Melaka sejak Isnin lepas membantu operasi penguatkuasaan dilakukan dengan lebih efisien selain mengoptimumkan masa operasi dengan liputan kawasan lebih luas.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Gates IT Solution Sdn Bhd Husni Ruslai, yang membangunkan aplikasi tersebut berkata sasaran pelaksanaan di semua PBT dan 35,000 premis perniagaan menjadikan Melaka sebagai negeri pertama di Malaysia menggunakan sistem lesen pintar dan tanpa tunai itu.
“Antara manfaat utama aplikasi dalam talian yang menggunakan telefon bimbit ini, ia dapat menggantikan lesen perniagaan bercetak sekali gus membendung pemalsuan, duplikasi dan kehilangan lesen, selain memudahkan semakan status lesen perniagaan serta kompaun.
"Sebanyak 1,645 unit MyPATIL dipasang bermula 13 hingga 26 Sept di Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Majlis Perbandaran Jasin dan Majlis Perbandaran Alor Gajah, manakala ujian cubaan penguatkuasaan akan dilakukan pada 27 Sept hingga 1 Okt depan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Husni berkata sistem tersebut membolehkan pihak PBT memperoleh maklumat premis secara waktu sebenar dan pantas, penguatkuasaan dilakukan tanpa bersemuka serta pemantauan boleh dibuat dari jarak 20 meter.
"Sistem ini juga membolehkan pegawai penguat kuasa mengeluarkan kompaun digital kepada pemilik premis dengan capaian data maklumat terus ke ibu pejabat PBT, manakala pihak pentadbiran PBT dapat memantau aktiviti di lapangan seperti kawasan pemantauan, penguat kuasa yang bertugas, jumlah saman dikeluarkan, jenis kesalahan serta kutipan saman melalui papan pemuka," katanya.
Beliau berkata ia penting memandangkan pertambahan lesen selari dengan perkembangan perniagaaan bersaiz sederhana, kecil dan mikro, mengakibatkan kos operasi dan pengurusan yang tinggi kepada pihak PBT dalam memastikan pemantauan dilakukan secara berterusan.
"Penularan wabak COVID-19 juga telah merubah corak pengurusan dan prosedur operasi standard (SOP) baharu diperkenalkan bagi perniagaan dan pengurusan PBT.
“Justeru projek yang menggunakan aplikasi berasaskan teknologi pintar dan platform Internet benda (IoT) ini dapat memperkasakan sistem pelesenan dan penguatkuasaan semasa PBT," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial