SHAH ALAM, 14 Sept -- Muafakat Nasional (MN) Selangor akan kekal mempertahankan kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar dan Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS Selangor Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dalam kenyataan bersama hari ini berkata MN akan memastikan jajaran politik perpaduan ummah terus menjadi agenda utama dalam menawan kembali negeri ini daripada tangan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum nanti.
“Sepanjang dua tahun penubuhannya MN Selangor telah terus melangkah ke hadapan memperkasakan agenda penyatuan ummah dan telah berjaya menubuhkan kerjasama politik antara kedua parti di pelbagai peringkat sehinggalah ke akar umbi,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan kerjasama tersebut termasuklah menggerakkan program dan aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan yang telah mendapat sambutan dan sokongan menggalakkan daripada penyokong parti serta rakyat Selangor secara amnya.
MN Selangor juga konsisten dalam memperkasakan agenda Islam, Melayu dan Bumiputera secara tuntas demi membangunkan watan yang sejahtera sebagaimana dipersetujui dalam Piagam MN.
Menurut kenyataan itu, MN Selangor juga menerima realiti kepelbagaian agama, kaum dan budaya di negeri itu yang perlu turut dilibatkan bersama demi kestabilan politik, keharmonian kaum dan kesejahteraan negara.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan sempena ulang tahun kedua penubuhan MN dan pemeteraian Piagam Muafakat Nasional antara UMNO dan PAS.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial