MELAKA, 21 Ogos -- Penduduk Melaka yang menerima suntikan lengkap vaksin COVID-19 dibenarkan makan di premis kedai makan (dine-in) mulai hari ini.
Keputusan itu diumumkan Majlis Keselamatan Negara Negeri Melaka dalam satu kenyataan di Facebook rasminya di sini hari ini selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas COVID-19 Negeri Melaka semalam.
MKN Negeri Melaka tampil mengeluarkan kenyataan rasmi apabila timbul kekeliruan dalam kalangan masyarakat Melaka berhubung kebenaran aktiviti makan di premis kedai dan operasi pasar pagi di negeri ini sejak semalam.
Menurut kenyataan itu kedua-dua aktiviti berkenaan adalah antara sektor yang dibenarkan kepada individu yang telah menerima vaksin lengkap bagi negeri-negeri di Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).
"Seperti yang ditetapkan, aktiviti makan di perniagaan berpremis dibenarkan dari pukul 6 pagi sehingga 10 malam, dan tidak dibenarkan makan di kantin atau kafeteria yang beroperasi di industri kilang.
"Bagi operasi pasar, hanya pasar pagi sahaja dibenarkan beroperasi dengan tambahan 11 sektor operasi dibenarkan, manakala operasi pasar malam dan pasar minggu serta rentas daerah masih tidak dibenarkan di Melaka kecuali kecemasan dan kematian atas kebenaran Polis Diraja Malaysia ," katanya.
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan