KUALA LUMPUR, 28 Julai -- Kes baharu COVID-19 hari ini melonjak kepada 17,405 kes dalam tempoh 24 jam lepas, tertinggi sejak pandemik melanda negara.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi perkongsian di Twitter memaklumkan jumlah kumulatif kes COVID-19 negara kini meningkat kepada 1,061,476.
Pada 25 Julai, Malaysia merekodkan 17,045 kes jangkitan baharu wabak itu.
Selangor mencatatkan kes baharu tertinggi dengan 7,171 kes diikuti Kuala Lumpur (2,880), Kedah (1,112), Sabah (913) dan Negeri Sembilan (863).
Johor pula merekodkan 767 kes, Pulau Pinang (760), Kelantan (532), Melaka (531), Terengganu (490), Sarawak (464), Pahang (429), Perak (406), Putrajaya (68), Labuan (16) manakala Perlis tiga kes.
Sementara itu, Dr Noor Hisham menerusi kenyataannya memaklumkan seramai 1,016 pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 529 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.
Menurutnya 12,373 kes sembuh wabak itu dicatatkan dalam tempoh 24 jam lepas menjadikan jumlah kes pulih sepenuhnya di negara ini ialah 877,812 kes.
Dalam pada itu, katanya sebanyak 143 kes kematian dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian adalah 8,551 orang setakat hari ini.
Beliau berkata kes kematian melibatkan 123 warganegara dan 20 lagi adalah warga asing.
Dr Noor Hisham berkata 41 kluster baharu dikesan semalam dengan 22 daripadanya berkaitan dengan tempat kerja, 16 kluster komuniti, dua kluster pusat tahanan serta satu kluster pendidikan lain.
Beliau turut berkongsi nilai kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R-naught (Rt) di Malaysia semalam adalah 1.14 dengan Terengganu mencatatkan nilai tertinggi iaitu 1.30, diikuti Kelantan (1.27), dan Johor, Sabah, serta Kedah masing-masing 1.23.
Semua negeri mencatatkan Rt melebihi 1.0 kecuali Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Labuan, dan Perlis.
Sementara itu, beliau berkata daripada 17,405 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, sebanyak 374 kes (2.1 peratus) adalah daripada Kategori 3, 4 dan 5, manakala, sebanyak 17,031 kes (97.9 peratus) lagi melibatkan Kategori 1 dan 2.
Katanya ia adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosis COVID-19.
“Ada di antara kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status kesihatan sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi.
“Secara keseluruhan, hanya 2,032 kes (11.7 peratus) daripada jumlah kes pada hari ini mempunyai sejarah vaksinasi COVID-19,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial