SHAH ALAM, 3 April (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Selangor menahan seorang lelaki disyaki mendera seekor anak kucing dalam kejadian di sebuah premis dobi layan diri sekitar Kajang dekat sini.
JPV Selangor dalam kenyataan memaklumkan penahanan lelaki dianggarkan berusia lingkungan 40-an itu dilakukan setelah pihaknya digerakkan ke lokasi kejadian sekitar 11 pagi tadi bagi melakukan pemeriksaan.
Kenyataan itu memaklumkan ia berikutan maklumat serta aduan orang awam susulan penularan satu video di media sosial berdurasi 59 saat memaparkan seorang lelaki mendera seekor anak kucing dengan mencampakkan ke arah dinding serta ke atas sebuah tilam secara berulang kali.
Hasil pemeriksaan mendapati anak kucing dipercayai yang sama seperti di dalam video tular itu berada di lokasi kejadian.
“Pemeriksaan lanjut pegawai mendapati orang yang disyaki (OYDS) turut berada di sekitar lokasi kejadian.
“Pemeriksaan awal yang dijalankan mendapati OYDS dipercayai melakukan perbuatan itu antara 3.40 pagi sehingga 3.50 pagi semalam. Lelaki itu ditahan bagi siasatan lanjut dan permohonan reman dilakukan mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593),” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, anak kucing yang dipercayai didera, satu telefon bimbit dan seutas tasbih dipercayai milik OYDS turut disita bagi pemeriksaan serta siasatan lanjut di bawah Subseksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial