KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Ketua Jurulatih Selangor FC Kim Pan Gon yakin pasukan itu mempunyai kelebihan menjelang aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia 2025-2026 menentang Kuching City FC pada 18 April ini.
Pan Gon menyuarakan keyakinan itu selepas skuad Gergasi Merah mempamerkan aksi yang membanggakan ketika terikat 1-1 dengan Kuching City pada perlawanan pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Petaling Jaya malam tadi.
Pengendali dari Korea Selatan itu berkata walaupun gagal melakar kemenangan di laman sendiri, Selangor akan mengekalkan corak permainan menyerang di Kuching.
“Kami mempunyai peluang lebih tinggi berbanding Kuching kerana saya fikir prestasi kami lebih baik. Kami menguasai dan mengawal permainan. Jika pada perlawanan di tempat sendiri mereka mahu menyerang kami, kami gembira.
“Kami akan pergi ke sana dan melihat sama ada mereka menggunakan kelebihan mereka untuk menyerang kami. Ia akan menjadi perlawanan yang baik kerana kami bukan sekadar bertahan, kami juga akan menyerang. Kami mahu menjadikannya perlawanan yang sangat menarik untuk peminat pada perlawanan kedua,” katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.
Pada pertembungan malam tadi, Selangor dilihat lebih banyak menguasai permainan, namun dikejutkan apabila Ronald Ngah Wanja menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-42 untuk meletakkan Kuching City di hadapan.
Pasukan tuan rumah sebelum itu menyangka mereka telah mendahului, namun jaringan Ahmad Zikri Mohd Khalili pada minit ke-21 dibatalkan selepas semakan VAR.
Ketika Selangor dilihat akan dihukum selepas mempersia-siakan beberapa peluang terbaik, Moraes menjaringkan gol dari jarak jauh pada masa kecederaan untuk mengikat kedudukan seri 1-1, sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah Pan Gon sejak mengambil alih pasukan pada awal Januari.
“Kami mengawal permainan tetapi kami tidak dapat menjaringkan gol atau mencipta peluang yang baik. Itulah masalahnya. Terdapat sedikit nasib yang tidak menyebelahi kami. Secara keseluruhannya, ia adalah perlawanan yang sangat sukar dan sengit... namun saya tidak mahu terlalu negatif. Kami mahu kekal positif dan melihat ke hadapan untuk perlawanan kedua di tempat lawan,” kata Pan Gon.
Pan Gon kekal dengan rekod tanpa kalah sepanjang 14 perlawanan bersama Selangor dengan merekodkan 10 kemenangan dan empat keputusan seri dalam semua pertandingan setakat ini.
Selangor seterusnya akan menentang Sabah FC di tempat lawan pada perlawanan Liga Super pada 11 April.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial