AM

Satu jam pertama mesyuarat khas Dewan Rakyat dipenuhi persoalan tiada sesi bahas, undi

26/07/2021 02:42 PM

KUALA LUMPUR, 26 Julai  -- Satu jam pertama Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pagi ini panas dengan celahan serta pertanyaan daripada lebih 15 Ahli Parlimen blok pembangkang, yang kebanyakannya merujuk Peraturan Mesyuarat, mempersoal ketiadaan sesi perbahasan serta pengundian bagi perkara dibentangkan menteri-menteri.

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna), Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor), Tun Dr Mahathir Mohamad (Pejuang-Langkawi), Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) dan Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) antara yang bangkit meluahkan ketidakpuasan hati mereka mengenai sesi Dewan Rakyat yang bermula hari ini selama lima hari. 

Dr Mahathir semasa bangun mencelah mendakwa kerajaan Perikatan Nasional cuba memperdaya dunia dengan mengadakan mesyuarat khas Dewan Rakyat yang digelarnya sebagai ‘majlis taklimat’ tanpa perbahasan. 

“Ini adalah satu penipuan lebih-lebih lagi apabila tekanan wabak COVID-19 menjadi alasan untuk isytihar darurat, tidak dibentang dalam Dewan ini untuk dibahas. 

“Berkenaan Pelan Pemulihan Negara (PPN), jika kerajaan ingin maklumkan kepada Dewan ini berkenaan pelan negara, kita tak perlu kepada penerangan. Kita perlu kepada perbahasan (mengenai) penderitaan rakyat, tetapi ini tak termasuk dalam agenda,” kata bekas perdana menteri itu. 

Terdahulu, Mohd Shafie, yang merupakan Ahli Parlimen pertama bangun dan meminta penjelasan daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun, bertanya sama ada mesyuarat khas yang diadakan ini selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong dan Perlembagaan Persekutuan. 

Keadaan menjadi semakin panas apabila Ramkarpal bertanya mengapa Proklamasi Darurat serta Ordinan di bawah proklamasi itu tidak dikemukakan ke Dewan Rakyat serta menyoal sama ada Azhar Azizan menerima sebarang arahan untuk tidak berbuat demikian. 

“Saya nak tahu kenapa Proclamation of Emergency (Proklamasi Darurat) dan Ordinan di bawahnya tidak dibawa ke Dewan? Adakah tuan (Azhar Azizan) menerima arahan untuk tak bawa perkara itu ke Dewan? Jika itu agendanya, letak jawatan,” katanya. 

Sementara itu, Sim menegaskan sekiranya mesyuarat khas kali ini tiada sesi perbahasan, ia dianggap sebagai penderhakaan terhadap titah Seri Paduka. 

“Dalam titah Tuanku… (persidangan Parlimen) ini untuk membolehkan Ordinan Darurat dan PPN dibahaskan oleh ahli Dewan Rakyat… Saya harap Yang Dipertua jangan heret Parlimen ke arah penderhakaan. Tuan Speaker ada tanggungjawab pertahankan Perlembagaan Persekutuan dan menjunjung titah Tuanku,” katanya. 

Susulan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan bangkit menjelaskan bahawa Mesyuarat Khas Dewan Rakyat tersebut adalah berdasarkan Peraturan Mesyuarat dan bukan kali pertama diadakan. 

“Sebagaimana Standing Order (Peraturan Mesyuarat) ini adalah boleh dianggap sebagai sebahagian Perlembagaan Persekutuan kerana Peraturan Mesyuarat dibuat berdasarkan Perkara 62 (1) Perlembagaan Persekutuan.

“Ini sebahagian daripada Perlembagaan… berdasarkan kepada Peraturan Mesyuarat 11(3) yang dibaca rakan pembangkang, jelas menyatakan bahawa dalam konteks Parlimen Malaysia ada sidang biasa dan sidang khas,” katanya.

Peraturan Mesyuarat 11 (3) memberi kuasa kepada perdana menteri untuk meminta Yang Dipertua Dewan Rakyat memanggil sidang khas, kata beliau sambil menunjukkan surat perdana menteri kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat mengenai agenda sidang khas ini dibuat untuk kepentingan rakyat termasuk membentangkan Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat.

Sementara itu, Azhar Azizan ketika membuat keputusan berkata Mesyuarat Khas berkenaan adalah mengikut Peraturan Mesyuarat 11 (3) dan beliau telah diberi pemakluman oleh perdana menteri untuk mengadakannya demi kepentingan awam.

Beliau berkata peraturan berkenaan jelas menyatakan bahawa perdana menteri mempunyai hak prerogatif untuk menentukan segala urusan mesyuarat. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan