KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-15 melabuhkan tirai hari ini setelah bersidang selama 12 hari bermula 23 Feb lepas dengan menyaksikan enam Rang Undang-Undang (RUU) diluluskan.
Dewan Negara meluluskan RUU Perbekalan Tambahan (2025) 2026 dan RUU Pemberian Mengikut Bilangan Orang 2026 di bawah Kementerian Kewangan, manakala di bawah Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) melibatkan RUU Perjanjian Penyelesaian Antarabangsa Yang Terhasil Daripada Pengantaraan 2025.
Turut diluluskan ialah RUU Rapid Transit System Link Johor Bahru-Singapura 2026 di bawah Kementerian Dalam Negeri, RUU Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2026 di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, serta RUU Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2025 di bawah Kementerian Sumber Manusia.
Sepanjang persidangan, antara tumpuan hangat perbahasan ialah isu provokasi kaum, polemik pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur serta isu tuntutan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah dalam ucapan penangguhan mengucapkan syabas dan tahniah kepada 47 Ahli Dewan Negara kerana mengambil bahagian membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong serta kesemua RUU yang dibawa dari Dewan Rakyat.
"Pindaan kepada Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Negara juga telah diluluskan, yang merupakan langkah inklusif sebagai persediaan pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 yang dijangka berkuat kuasa tahun ini," katanya.
Beliau berkata pindaan tersebut merangkumi 19 pindaan substantif yang bertujuan memperkukuhkan prinsip akauntabiliti badan eksekutif kepada Dewan Negara, sekali gus memantapkan fungsi semak dan imbang.
Selain itu, persidangan kali ini turut membentangkan tiga penyata Jawatankuasa Pilihan Khas, termasuk Jawatankuasa Peraturan-Peraturan Mesyuarat serta Jawatankuasa Pilihan Khas Tatakelola, Integriti dan Antirasuah.
Awang Bemee turut mengumumkan penubuhan lima jawatankuasa tetap baharu serta pengekalan tiga jawatankuasa pilihan khas sedia ada untuk meningkatkan kredibiliti Dewan Negara sebagai 'Upper House'.
"Dengan penubuhan 12 jawatankuasa ini, ia menuntut komitmen yang tinggi daripada ahli-ahli Yang Berhormat serta pengurusan sumber manusia di Dewan Negara untuk menzahirkan kewibawaan dalam proses penggubalan undang-undang negara," katanya.
Selain itu, beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Dr A. Lingeshwaran dan Amir Md Ghazali, yang telah menamatkan perkhidmatan mereka sebagai Senator serta 14 lagi ahli yang bakal menamatkannya dalam masa terdekat.
Sebelum mengakhiri ucapan, Awang Bemee turut mengambil kesempatan mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua warga kerja Parlimen dan Ahli Dewan Negara sebelum menangguhkan persidangan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial