| BERITA TERGEMPAR | Super League: PDRM FC 1-6 Negeri Sembilan FC | |
KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Ketegangan berterusan di Asia Barat akan memberi kesan kepada kestabilan dan keselamatan ekonomi, kehidupan jutaan penduduk di rantau ini, dan menghalang kemajuan ekonomi dalam ASEAN, menurut kenyataan bersama Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN.
Dalam pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-32 di Taguig, Filipina, kesemua menteri tersebut bertukar pandangan mengenai situasi serantau dan global yang sedang berlaku, termasuk ketegangan di Asia Barat serta potensi implikasinya terhadap rantau ASEAN, ekonomi global dan serantau.
“Kami melahirkan kebimbangan terhadap ketegangan berterusan di Asia Barat.
“Konflik yang semakin meningkat telah mengakibatkan kesan ekonomi yang meluas di luar rantau itu, terutamanya menerusi peningkatan turun naik dalam pasaran tenaga global dan gangguan ke atas laluan maritim serta rantaian bekalan, menyebabkan ketidakpastian dan cabaran yang ketara kepada ekonomi, perniagaan serta dinamik perdagangan global.
“Gangguan sedemikian akan mengakibatkan kos pengangkutan, insurans dan logistik yang lebih tinggi serta menyumbang kepada tekanan inflasi terhadap tenaga, makanan dan barangan keperluan lain,” kata mereka dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Selain itu, AEM juga berkata tempoh ketidakstabilan geopolitik yang berpanjangan boleh menimbulkan cabaran berterusan kepada prospek ekonomi global, yang telah pun dilanda pelbagai cabaran sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Oleh itu, AEM menyertai Menteri-Menteri Luar ASEAN dalam menyeru agar konflik Asia Barat diselesaikan melalui secara diplomatik dan aman, termasuk menghentikan permusuhan, pelaksanaan kekangan maksimum, dan sesi dialog oleh semua pihak yang terlibat.
“Kami mengesahkan semula bahawa kebolehramalan ekonomi jangka panjang serantau dan keyakinan pelabur, berkait rapat dengan penerapan undang-undang antarabangsa yang konsisten dan penyelesaian pantas krisis kemanusiaan, kekal sebagai asas pembentukan perdagangan global yang stabil," kata mereka.
Mengenai isu bekalan tenaga, AEM menekankan mengenai kepentingan untuk memperkukuhkan keselamatan dan daya tahan tenaga serantau, terutamanya memandangkan ASEAN terdedah kepada laluan bekalan minyak dan gas asli cecair global serta perkembangan dalam pasaran tenaga antarabangsa.
“Kami menekankan keperluan untuk menguruskan penggunaan tenaga, mempelbagaikan sumber tenaga dan laluan bekalan, khususnya menerusi biobahan api dan tenaga boleh baharu, meningkatkan kerjasama serantau mengenai kesiapsiagaan tenaga dan kerjasama mengenai rizab, termasuk dengan rakan dialog ASEAN serta mempercepatkan peralihan tenaga boleh baharu dan pembangunan tenaga alternatif," tambah mereka.
AEM juga menyeru kerjasama berterusan untuk memajukan rangka kerja kerjasama tenaga sedia ada ASEAN, termasuk Perjanjian Rangka Kerja ASEAN mengenai Keselamatan Petroleum, Memorandum Persefahaman yang Dipertingkatkan Grid Kuasa ASEAN dan Saluran Paip Gas Trans-ASEAN, bagi memastikan ketersambungan dan bekalan tenaga yang stabil, terjamin, mampan dan berdaya tahan.
Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN itu turut menyatakan kebimbangan mereka mengenai siasatan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat ke atas 60 ekonomi di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974 berkaitan dengan kegagalan untuk bertindak terhadap amalan buruh paksa dalam perdagangan.
“Kami akan memantau siasatan Seksyen 301 yang dilancarkan baru-baru ini oleh AS yang menjejaskan kebanyakan negara anggota ASEAN dan terlibat secara proaktif bagi memastikan siasatan itu selaras dengan peraturan perdagangan antarabangsa," tambah AEM.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial