AM

Penggiat industri pelancongan T’ganu selesai divaksin sebelum akhir Ogos

23/07/2021 12:06 AM

KUALA BERANG, 22 Julai -- Kira-kira 5,000 penggiat industri pelancongan di Terengganu, terutama di pulau-pulau peranginan, dijangka menerima suntikan vaksin COVID-19 sepenuhnya sebelum akhir bulan depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri Ariffin Deraman berkata ia sebagai persediaan pembukaan semula sektor pelancongan di negeri ini setelah situasi penularan COVID-19 reda.

“Proses vaksinasi bagi pemain industri pelancongan sudah dimulakan di Pulau Kapas minggu lepas, manakala program kedua dijalankan di Tasik Kenyir hari ini, sebelum ke lokasi lain seperti Pulau Redang di Kuala Nerus, Pulau Perhentian (Besut) dan Pulau Tenggol (Dungun),” katanya kepada pemberita selepas meninjau pusat pemberian vaksin (PPV) Program Outreach Vaksinasi Sektor Pelancongan Tasik Kenyir, di Pengkalan Gawi Tasik Kenyir, di sini hari ini. 

Turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu Datuk Rosol Wahid dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) Datuk Razali Idris.

Selain itu, Ariffin berkata kerajaan negeri juga berharap supaya kerajaan Persekutuan mempertimbangkan untuk membenarkan aktiviti rentas daerah bagi individu yang telah lengkap divaksin, untuk menghidupkan semula industri pelancongan Terengganu.

“Kebiasaannya pulau-pulau peranginan di Terengganu akan memperlahankan operasi mereka pada November, Disember, Januari dan Februari kerana musim tengkujuh. Jadi, kita minta baki beberapa bulan ini kebenaran rentas daerah akan diberikan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri juga telah mengemukakan permohonan kepada kerajaan pusat bagi membolehkan gelembung perjalanan hijau turut diadakan di pulau-pulau pelancongan di negeri ini, sebagaimana yang bakal dilaksanakan di Pulau Langkawi, Kedah. 

Sementara itu, Razali berkata sebanyak 500 individu, terdiri daripada 300 pengusaha pelancongan dan 200 penduduk di sekitar Tasik Kenyir, menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 hari ini yang dilakukan di empat rumah bot. 

“Selain memastikan pengusaha pelancongan dan penduduk sekitar dilindungi daripada penularan COVID-19, diharapkan program pemberian vaksin ini dapat memberi keyakinan kepada pelancong untuk berkunjung ke Tasik Kenyir nanti,” katanya.

Menurut Razali, sehingga 18 Julai, seramai 52,380 individu (78 peratus) daripada 67,056 penduduk di Wilayah Ketengah, yang meliputi tiga daerah iaitu Dungun, Hulu Terengganu dan Kemaman, telah berjaya didaftarkan sebagai penerima vaksin. 

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 12,340 individu telah melengkapkan kedua-dua dos vaksin di sembilan PPV outreach di wilayah tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan