AM

COVID: Kes baharu turun sedikit kepada 12,541 hari ini - KP Kesihatan

16/07/2021 08:44 PM

KUALA LUMPUR, 16 Julai -- Jumlah kes harian COVID-19 hari ini turun sedikit berbanding semalam dengan merekodkan kes baharu sebanyak 12,541 kes.

Semalam, sebanyak 13,215 kes direkodkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah melalui laman Twitter berkata perkembangan itu menjadikan kumulatif kes kini berjumlah 893,323.

Katanya Selangor masih kekal negeri paling tinggi mencatatkan jangkitan dengan 5,512 kes diikuti Negeri Sembilan (1,619) dan Kuala Lumpur (1,542).

Negeri lain merekodkan kes di bawah 1,000 iaitu Johor 609 kes; Melaka (575;); Kedah (458); Sarawak (423); Pahang (382); Pulau Pinang (376); Sabah (326); Perak (299); Kelantan (225); Terengganu (102); Putrajaya (62); Labuan (24) dan Perlis tujuh kes.

Beliau berkata daripada 12,541 kes harian yang dilaporkan hari ini, sebanyak 6,504 kes adalah daripada kategori 1 (tidak bergejala); 5,848 kes kategori 2 (bergejala ringan); 86 kes kategori 3 (radang paru-paru); 49 kes kategori 4 (radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen); dan 54 kes kategori 5 (kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan).

Sementara itu Dr Noor Hisham, dalam kenyataan media, berkata kes aktif dengan kebolehjangkitan kini melonjak kepada 114,053 kes menjadikan ia jumlah kes aktif paling tinggi setakat ini sejak COVID-19 dikesan di negara ini. 

Beliau berkata sejumlah 6,742 kes sembuh dan 115 kematian direkodkan hari ini menjadikan jumlah kes keseluruhan 772,542 kes sembuh dan 6,728 kematian.

"Kes kematian hari ini antaranya melibatkan 53 orang di Selangor, 24 di Kuala Lumpur, masing-masing tujuh kes di Johor dan Melaka, lima orang di Pulau Pinang, masing-masing empat kes di Negeri Sembilan dan Kedah, masing-masing tiga kes di Sabah dan Perak, masing-masing dua kes di Kelantan dan Terengganu, serta seorang di Labuan," katanya.

Selain itu, beliau memaklumkan 896 pesakit kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 459 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Mengenai kluster baharu, Dr Noor Hisham berkata 37 kluster baharu dikesan, tertinggi sejak negara dilanda pandemik, dengan 19 daripadanya melibatkan kluster tempat kerja, lapan kluster komuniti dan empat kluster pusat tahanan, tiga kluster kumpulan berisiko tinggi serta tiga kluster pendidikan lain.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 dalam negara setakat semalam adalah 1.20, dengan Putrajaya mencatat nilai Rt tertinggi pada 1.32.

Beliau berkata negeri lain yang mencatatkan Rt melebihi 1.0 adalah Terengganu dengan nilai Rt 1.27; Kedah (1.23); Selangor dan Pulau Pinang masing-masing 1.20; Negeri Sembilan (1.17); Kuala Lumpur (1.15); Melaka (1.14); Pahang (1.12); Johor, Kelantan dan Perak masing-masing 1.10; dan Sabah (1.09).

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan kes COVID-19, iaitu berapa ramai boleh dijangkiti oleh satu kes positif.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan