AM

PROJEK SMART SBB MAMPU KURANGKAN IMPORT BERAS WANGI SEHINGGA 75 PERATUS - MAFI

06/07/2021 07:24 PM

PASIR SALAK, 6 Julai -- Penanaman padi beras wangi di bawah Projek Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) dijangka dapat mengurangkan import beras wangi sehingga 75 peratus, kata Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Azman Mahmood.

Azman berkata sehingga kini fasa pertama projek berkenaan telah melibatkan kawasan seluas 600 hektar di Seberang Perak dan Selangor dan kini sedang menunggu hasil tuai yang dijangka akan mula dijual bulan depan.

“Hasil padi beras wangi berkenaan bakal menjadi beras wangi tempatan keluaran MAFI dan FGV yang pertama dijual secara komersial,” katanya ketika ditemui pemberita bersama-sama Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Che Abdullah Mat Nawi, di Jelapang Padi Seberang Perak hari ini.

Azman berkata sebanyak 11 syarikat peneraju terlibat dalam membangunkan kawasan penanaman padi beras wangi yang menggunakan kaedah penyatuan tanah sawah secara pertanian kontrak tanpa mengambil alih status pemilikan tanah sawah daripada tuan tanah.

“Menariknya, pendekatan Smart SBB ini berkonsepkan pertanian kontrak yang dipraktikkan dengan jayanya di Vietnam dan Thailand untuk pengeluaran padi yang lebih produktif dan bersasar,” jelasnya.

Azman berkata malah Smart SBB yang dilaksanakan MAFI bersama FGV Intergrated Farming Holdings Sdn Bhd (FGV) sejak April lalu itu juga dapat membantu petani meningkatkan pendapatan mereka lebih RM300 sebulan.

“Program ini menyasarkan pendapatan bersih dalam setahun meningkat dari RM5,400 sehingga RM15,600 sekiranya purata produktiviti per hektar meningkat daripada 3.5 tan metrik kepada sasaran tujuh tan metrik.

“Purata pendapatan pesawah juga dijangka akan meningkat daripada RM5,000 kepada RM7,900 setahun melalui program ini,” katanya

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan