JOHOR BAHRU, 1 Julai -- Pernah gagal subjek Bahasa Melayu ketika di tingkatan lima mendorong Chai Ching Sheng meningkatkan penguasaan bahasa Melayu yang menyaksikan pelajar keturunan Tionghoa itu memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif 4.00 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang diumumkan hari ini.
Penuntut Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki itu berkata kegagalan semasa peperiksaan pertengahan tahun tatkala bersedia menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), membuatkannya berusaha mempelajari bahasa Melayu termasuk mengikuti kelas tambahan.
Mendapat pendidikan awal di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kempas Baru dan SMK Sri Rahmat, Chai, 21, berkata hasilnya dia memperoleh C+ untuk kertas Bahasa Melayu SPM.
“Saya telah berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menguasai bahasa Melayu dan ketika berumur 19 tahun saya fasih berbahasa kebangsaan,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Taman Munsyi Ibrahim, di sini hari ini.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu menjelaskan dia kini mampu menguasai tatabahasa dan penggunaan istilah bahasa Melayu dengan baik.
Chai merupakan satu-satunya calon STPM di sekolah berkenaan yang memperoleh PNGK 4.00 dalam kesemua mata pelajaran yang diambil iaitu Pengajian Am, Sejarah, Pengajian Perniagaan dan Ekonomi.
Dia mendedikasikan keputusan cemerlangnya itu untuk bapanya Chai Moi Hen, 58, yang bekerja sebagai tukang kayu dan ibu Tam Mok Kiew, 59, pembantu kedai.
Berhasrat melanjutkan pengajian di Universiti Malaya, Chai yang bercita-cita bekerja dalam sektor perbankan, berkata antara rahsia kejayaannya ialah membuat persiapan awal termasuk memperuntukkan satu minggu bagi mengulang kaji satu subjek.
“Selain itu, saya juga lebih gemar mengulang kaji pelajaran pada waktu malam sebelum tidur kerana bagi saya ilmu lagi senang hendak masuk,” katanya.
Chai pada masa sama turut menzahirkan penghargaan kepada guru-gurunya atas ilmu yang dicurahkan selain bertungkus-lumus membantu pelajar sepanjang persediaan menghadapi peperiksaan STPM.
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan