AM

MPBPP Peruntuk RM5 Juta Laksana PDCA 2025, Tingkat Pembangunan Insan Pelajar Bumiputera

11/06/2025 08:50 PM

BUTTERWORTH, 11 Jun (Bernama) -- Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (MPBPP) memperuntukkan RM5 juta pada tahun ini bagi pelaksanaan Program Didik Cemerlang Akademik (PDCA) 2025, bertujuan meningkatkan pembangunan insan pelajar bumiputera terutama dalam kalangan B40.

Pengerusi MPBPP Tan Sri Khalid Ramli berkata peruntukan itu adalah terbesar sejak program berkenaan diwujudkan pada 2010 dan merupakan agenda utama di bawah Program Pembangunan Sosioekonomi dan Modal Insan MPBPP.

Beliau berkata PDCA telah memberikan impak besar menerusi peningkatan pencapaian akademik para pelajar dalam peperiksaan sejak ia dilaksanakan.

“Kejayaan ini juga hasil kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang dan guru-guru yang memberikan komitmen penuh dalam mendidik pelajar.

"Pada masa sama, kita sentiasa memikirkan cara untuk menambah baik program ini supaya ia dapat diperkukuh selari dengan hasrat digariskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mahu keilmuan dalam kalangan pelajar dipertingkatkan,” katanya kepada Bernama pada Majlis Apresiasi Program PDCA 2025 dan Pelancaran Program Tuisyen PDCA 2025 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Khalid berkata fokus pada tahun ini juga akan diberikan terhadap usaha menarik minat pelajar menyertai aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) memandangkan penglibatan bumiputera dalam bidang itu dilihat masih rendah.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata menerusi program Tuisyen PDCA, modul robotik akan diperkenalkan dalam pembelajaran mulai bulan ini dan program seumpamanya akan ditambah selain menggalakkan para pelajar mencipta inovasi produk-produk dalam usaha memupuk minat mereka dalam bidang berkenaan.

Beliau berkata inisiatif program Tuisyen PDCA telah dimulakan sejak 2011, dirangka dengan kerjasama JPN Pulau Pinang yang menyediakan modul khusus bagi membantu meningkatkan kemajuan pelajar bumiputera dalam bidang akademik terutama bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains serta sahsiah.

Khalid berkata sebanyak 6,576 pelajar daripada 83 sekolah meliputi 45 sekolah menengah dan 38 sekolah rendah di seluruh negeri menyertai program itu dengan pemilihan dibuat oleh pihak JPN pada tahun ini.

“Pelaksanaan program ini juga antara lain ialah kita mahu memberikan hak pendidikan seadil-adilnya kepada pelajar dalam golongan miskin kerana kita tidak mahu mereka keciciran dalam pelajaran," katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan