Oleh GOH KOK GUAN
GEORGE TOWN, 21 Jun -- Lebih 3,000 usahawan dijangka menerima manfaat daripada program keusahawanan NCER-SIRIM, kerjasama antara Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan SIRIM Bhd.
Ketua Eksekutif NCIA Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata program keusahawan NCIA-SIRIM selama dua tahun itu bertujuan membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) bagi meminimumkan kesan pandemik COVID-19 yang berterusan.
Program itu akan membolehkan PMKS mendapat set kemahiran baharu bagi memastikan daya saing dalam usaha mencapai kelangsungan perniagaan serta menjadi lebih mampan dan untung melalui pembaharuan strategi perniagaan mereka.
"Keusahawanan NCER-SIRIM adalah program strategik di bawah bidang kuasa NCIA dan inisiatif ini dilaksanakan mengikut piawaian tertinggi serta kepakaran industri SIRIM.
"Ia direka khusus bagi membantu PMKS mengharungi pandemik termasuk mempercepatkan proses untuk pemulihan sosioekonomi," katanya kepada Bernama selepas majlis menandatangani memorandum perjanjian secara maya dengan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad.
Perjanjian itu turut disaksikan oleh Pengerusi SIRIM, Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali.
Jebasingam berkata program itu juga selaras dengan Pelan Pemulihan Negara yang merangkumi empat fasa strategi keluar untuk membantu Malaysia bangkit semula daripada pandemik.
"Walaupun disebalik COVID-19, tempoh latihan kami masih tidak terjejas dan diharapkan menjelang suku ketiga atau keempat (tahun ini), pandemik akan menjadi lebih terkawal agar usahawan terlatih ini dapat meneruskan perniagaan mereka," katanya.
Program ini dijalankan secara hibrid, dengan kebanyakan latihan dibuat secara dalam talian.
Sementara itu, Ahmad Sabirin berkata, program tersebut telah membuat penampilan sulung kepada usahawan di Pulau Pangkor, Perak serta di Baling dan Yan di Kedah.
Peserta program yang sedang dijalankan sedang dilatih dalam kawalan kualiti, penjenamaan dan pelabelan serta pengurusan kewangan dan perancangan.
Mereka juga diberi latihan bagi meraih pensijilan tanggungjawab keselamatan makanan (MesTI) dari Kementerian Kesihatan termasuk pensijilan halal yang berkaitan, tambah beliau lagi.
"Peranan SIRIM dalam kerjasama ini adalah untuk membawa usahawan dalam NCER ke tahap yang lebih tinggi dengan menawarkan penyelesaian kepakaran dan teknologi kepada PMKS.
"Kerjasama kami dengan organisasi seperti NCIA adalah penting bagi membolehkan usahawan Malaysia, terutamanya di NCER untuk lebih berdaya saing di dalam dan luar negara," kata Ahmad Sabirin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial