AM

RAC Anjur "The Heritage Colours Festival" Hidupkan Semula Stesen Keretapi KL

26/06/2026 10:38 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Perbadanan Aset Keretapi (RAC) menganjurkan festival warisan The Heritage Colours Festival 2026 selama tiga hari bermula hari ini bagi memperkukuh pemeliharaan dan penghayatan warisan negara.

 RAC menerusi kenyataan hari ini memaklumkan festival yang berlangsung sehingga 28 Jun itu diadakan dari 10 pagi hingga 6 petang di Stesen Keretapi Kuala Lumpur (KL), satu daripada bangunan warisan ikonik negara yang dibina pada 1910.

“Sepanjang festival, pengunjung berpeluang menyertai pelbagai aktiviti termasuk persembahan tarian tradisional, persembahan penghibur jalanan, pertandingan mewarna, sesi penerangan ringkas bersama konservator berdaftar, selain jualan vendor tempatan.

“Selain itu, pengunjung turut berpeluang menyertai aktiviti seni dan kraf tangan tradisional seperti mencanting batik, anyaman bakul, mengait gubahan, permainan tradisional dan menenun songket,” menurut kenyataan itu.

RAC memaklumkan program jelajah itu dirasmikan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Fadlun Mak Ujud dengan kehadiran wakil pengurusan kanan RAC, Jabatan Warisan Negara, Keretapi Tanah Melayu Berhad dan Think City.

“Hari pembukaan festival itu turut diserikan dengan penganjuran Jelajah Warisan KL siri kedua, iaitu program libat urus bagi meninjau kemajuan pemuliharaan dan pengaktifan kawasan warisan di sekitar stesen berkenaan,” menurut kenyataan itu.

RAC memaklumkan pengintegrasian Jelajah Warisan itu diharap dapat menghubungkan orang ramai dengan sejarah, budaya dan warisan negara melalui pengalaman yang menyeronokkan serta menghidupkan semula aset warisan kereta api negara yang juga antara rangkaian tertua di Asia.

“Sebagai rangkaian kereta api yang kaya dengan nilai sejarah, warisan ini bukan sahaja mencerminkan perkembangan negara malah memainkan peranan penting dalam menghubungkan masyarakat dan membentuk identiti Malaysia.

“Melalui pelbagai program yang melibatkan pihak berkepentingan dan orang awam, RAC terus memperkukuh nilai ruang warisan agar kekal relevan, dinamik dan memberi manfaat kepada komuniti,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai dijemput hadir memeriahkan festival yang berlangsung secara terbuka dan masuk adalah percuma.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan