EKONOMI

Lebih RM4 Bilion Dana Bantuan PKS Masih Tersedia Di Bawah SME SRF - Akmal Nasrullah

25/06/2026 12:54 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Lebih RM4 bilion daripada peruntukan RM5 bilion di bawah Kemudahan Bantuan Kestabilan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bank Negara Malaysia (BNM) (SME SRF) masih tersedia bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menguruskan aliran tunai serta mengurangkan gangguan operasi.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata sehingga 18 Jun, 2026 pembiayaan berjumlah lebih RM700 juta telah diluluskan kepada lebih 1,000 PKS.

“Lebih RM4 bilion daripada peruntukan masih tersedia, menunjukkan ruang yang mencukupi untuk membantu syarikat menguruskan aliran tunai dan mengurangkan gangguan operasi,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) mengenai langkah mitigasi yang diambil melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi menangani peningkatan kehilangan pekerjaan dan pengecilan operasi perniagaan susulan krisis tenaga serta ketidaktentuan ekonomi global, selain hasil pelaksanaannya setakat ini.

Akmal Nasrullah berkata kerajaan turut menyediakan kemudahan jaminan pembiayaan melalui dana tambahan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd berjumlah RM5 bilion bagi menyokong pembiayaan kepada PMKS.

Beliau berkata PKS yang menghadapi kekangan aliran tunai boleh menghubungi institusi kewangan masing-masing bagi mendapatkan penyelesaian yang bersesuaian dengan keperluan perniagaan, dengan institusi kewangan komited memproses permohonan dalam tempoh tujuh hari bekerja.

Selain itu, kerajaan melaksanakan Pakej Daya Tahan Ekonomi Pemacu Anjakan Kemahiran dan Kebolehkerjaan (PACE) bernilai lebih RM710 juta sebagai intervensi menyeluruh bagi melindungi sektor pekerjaan serta menyokong kelangsungan perniagaan.

“Pakej itu memberi tumpuan kepada empat teras utama iaitu perlindungan sosial, latihan dan penempatan pekerjaan, pengupayaan pekerja gig serta pemantapan bakat muda dan PMKS.

“Di bawah PACE, lebih RM580 juta diperuntukkan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi mengukuhkan Sistem Insurans Pekerjaan untuk membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan, selain RM100 juta melalui HRD Corp bagi latihan dan penempatan kerja yang disokong platform MYFutureJobs,” katanya.

Beliau berkata kerajaan turut menyediakan RM20 juta bagi latihan pekerja gig melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Kemahiran serta RM10 juta melalui TalentCorp bagi menyokong latihan industri dalam kalangan PMKS dan syarikat pemula.

Pada masa sama, kerajaan memperkukuh pemantauan bekalan dan harga barangan keperluan serta bahan mentah kritikal yang diperlukan sektor pembuatan, makanan, pertanian dan perkhidmatan, katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Mohd Syahir mengenai krisis bekalan global, Akmal Nasrullah berkata kerajaan akan membentangkan penjelasan mengenainya menerusi satu kenyataan menteri di Dewan Rakyat pada Isnin depan, tertakluk kepada kelulusan Parlimen untuk membahaskannya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan