AM

COVID-19: ATM lancar operasi bersepadu kekang jenayah, pendatang tanpa izin

20/06/2021 01:12 PM

KOTA BHARU, 20 Jun  -- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melaksanakan projek rintis operasi bersepadu untuk memperketatkan kawalan keselamatan di sempadan seluruh negara bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan kemasukan pendatang tanpa izin, terutama ketika negara masih berdepan pandemik COVID-19.

Panglima Medan Barat Tentera Darat Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata projek rintis yang dilancarkan Rabu lepas dengan kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA) itu sekali gus membantu usaha kerajaan melandaikan keluk jangkitan COVID-19.

Beliau berkata ia berikutan wujud beberapa jangkitan varian baharu wabak itu di negara ini, dipercayai berpunca daripada kehadiran pendatang tanpa izin.

“Saya yakin sekiranya kawalan keselamatan dioptimumkan, kita akan berupaya meningkatkan operasi kedua-dua pasukan ini dalam memelihara sempadan negara daripada diceroboh apa jua ancaman,” katanya kepada pemberita selepas meninjau sekatan jalan raya (SJR) di Pasir Pekan, dekat sini hari ini. Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Kelantan SAC Abdullah Mohammed Piah.

Muhammad Hafizuddeain berkata bagi mempertingkatkan kawalan keselamatan di sempadan negara, Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) secara progresif membekalkan pelbagai aset dalam memperkasakan keupayaan operasi setiap pasukan keselamatan bertugas.

Sementara itu, mengenai lawatan di Kelantan selama tiga hari bermula semalam, beliau berkata operasi kawalan keselamatan di sempadan Kelantan-Thailand antara ATM dan pelbagai agensi berkaitan berada pada tahap baik.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan